Faedah PERKESO boleh dimohon secara dalam talian mulai tahun depan - Ramanan

Ramanan (tengah), bercakap pada sidang media selepas melakukan lawatan di Menara PERKESO, selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Sumber Manusia hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Bermula Januari depan, semua permohonan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) meliputi empat akta utama boleh dikemukakan sepenuhnya secara dalam talian, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R.Ramanan.
Ringkasan AI
- Permohonan faedah PERKESO akan dikemukakan dalam talian mulai Januari depan, melibatkan empat akta utama termasuk Akta Keselamatan Sosial Pekerja dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah.
- Skim LINDUNG 24 Jam akan dilaksanakan menjelang 2026, dengan Menteri Sumber Manusia menekankan kepentingan pelaksanaan yang telus dan berkesan demi kebaikan pekerja.
- PERKESO akan merintis Skim Pengembara untuk pekerja rentas sempadan, khususnya yang bekerja di Singapura, bagi memberikan perlindungan terbaik dan mengurangkan beban majikan dengan penawaran diskaun Faedah Caruman Lewat Bayar sebanyak 80 peratus.
"Saya percaya ini satu langkah yang baik sebab mereka (pemohon) dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan untuk ke pejabat PERKESO," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi pertama ke Menara PERKESO di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Selain aspek pendigitalan, Ramanan turut mengumumkan sasaran pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam menjelang suku pertama atau akhir suku kedua 2026.
Ramanan yang dilantik menerajui Kementerian Sumber Manusia dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI Selasa lepas berkata beliau komited untuk memastikan skim itu dilaksanakan secara telus, lancar dan berkesan demi kebaikan pekerja.
Menyentuh mengenai golongan pekerja rentas sempadan, Ramanan berkata PERKESO akan merintis Skim Pengembara bermula tahun hadapan menerusi satu kajian kebolehlaksanaan yang teliti bagi mencari mekanisme perlindungan terbaik.
"Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, angkanya hampir 400,000 pekerja tempatan yang melintas Tambak Johor setiap hari.
"Saya telah arahkan PERKESO untuk cari satu jalan, bagaimana kita boleh memberikan mereka perlindungan untuk menjaga keselamatan mereka dan tidak tercicir," katanya.
Bagi meringankan beban majikan, Ramanan berkata PERKESO bersetuju menawarkan pengurangan kadar Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sebanyak 80 peratus bermula hari ini hingga penghujung Februari 2026.
"PERKESO telah bersetuju penalti dikurangkan. Kita berikan 80 peratus diskaun, tetapi perlu dibayar sebelum hujung Februari," katanya sambil menambah insentif berkenaan bertujuan membantu kelangsungan operasi majikan khususnya sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


