SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong kembali bertugas hari ini, selepas ujian saringan COVID-19 yang dijalani pada Ahad menunjukkan keputusan negatif.

Pada 22 Mei lalu, Lee, 71, disahkan positif COVID-19 buat kali pertama sejak wabak itu melanda Singapura pada tahun 2020.

"Saya kini negatif COVID-19 dan akan kembali bertugas pada Isnin. Terima kasih kepada semua yang menghantar ucapan selamat kepada saya," katanya dalam laman Facebook rasmi beliau.

Lee sepatutnya menghadiri sambutan dua abad Raffles Institution, namun doktornya menasihati beliau supaya berehat.

Raffles Institution meraikan ulang tahun ke-200 pada Ahad.

Lee mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Chan Chun Sing kerana telah menyampaikan ucapan bagi pihak beliau.

Lee berkata Raffles Institution yang diasaskan pada 1823 telah mengekalkan etos dan semangat yang kukuh serta membina reputasi untuk kepimpinan pelajar, kecemerlangan akademik dan perkhidmatan kepada negara sejak 200 tahun yang lalu.

"Untuk meneruskan legasi generasi terdahulu ini, Raffles Institution mesti memenuhi misinya melahirkan perintis dan generasi pemimpin akan datang yang menjiwai semangat egalitarianisme untuk setiap bakat yang ada, kecemerlangan setiap bidang dan perkhidmatan dalam pelbagai domain.

"Dengan cara ini, Raffles Institution boleh terus memainkan peranan penting bagi membantu Singapura berkembang dengan lebih rancak buat anak-anak kita untuk tahun-tahun mendatang," tulis Lee.

-- BERNAMA