MOSCOW: Perdana Menteri India Narendra Modi yang mengadakan mesyuarat Kabinet bagi membincangkan persiapan untuk Sidang Kemuncak G20, mengarahkan para menteri mengelak membahaskan kemungkinan penamaan semula India kepada Bharat, lapor Sputnik memetik akhbar Hindustan Times pada Khamis.

Bharat ialah India dalam bahasa Hindi, satu daripada bahasa rasmi negara itu selain bahasa Inggeris.

Media India yang memetik sumber melaporkan kerajaan India mungkin mencadangkan penukaran nama negara itu secara rasmi kepada Bharat dan membawa isu itu ke sidang khas Parlimen yang akan diadakan dari 18 hingga 22 Sept.

Modi menasihatkan pegawainya supaya tidak membuat kenyataan mengenai isu yang mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap atau yang boleh menimbulkan kontroversi pada Sidang Kemuncak G20 yang akan berlangsung di New Delhi dari 9 hingga 10 Sept, menurut sumber.

Beliau juga mengarahkan para menteri untuk menjalankan tugas mereka dan memerangi serangan terhadap perkara berkaitan akidah, menurut laporan itu.

Parti Bharatiya Janata yang memerintah, menggesa Ahli Parlimen dan pegawai parti supaya mengelak daripada membuat ulasan atau kenyataan kontroversi yang boleh menjadi tajuk utama semasa sidang kemuncak itu.

"Jurucakap dan pemimpin lain telah diminta bercakap hanya mengenai isu yang mereka diberi kuasa untuk bercakap. Mereka tidak seharusnya membiarkan pembangkang merampas naratif semasa tumpuan diberikan kepada India dan sidang kemuncak global," kata seorang wakil parti.

Keputusan Murmu untuk menggunakan nama negara itu dalam bahasa Hindi dalam jemputannya, serta kemungkinan penamaan semula negara itu, mencetuskan kemarahan dalam kalangan parti pembangkang, kebanyakannya sebelum ini menyertai Indian National Developmental Inclusive Alliance (I.N.D.I.A.) yang baru ditubuhkan untuk menentang National Democratic Alliance yang memerintah, pada pada pilihan raya 2024.

-- BERNAMA