Skip to main content

Dunia

PM Pakistan bincang usaha pengantaraan dengan Presiden Iran untuk tamatkan konflik Asia Barat

KONFLIK ASIA BARAT
Sharif memberi jaminan yang Pakistan akan terus berperanan “konstruktif” dalam membawa keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

KARACHI: Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Sabtu mengenai usaha pengantaraan yang sedang dijalankan bagi menamatkan konflik berterusan di Asia Barat, menurut satu kenyataan rasmi, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam panggilan telefon yang berlangsung lebih sejam, yang kedua dalam beberapa hari kebelakangan ini Sharif memaklumkan Pezeshkian mengenai usaha diplomatik berterusan Pakistan, termasuk melibatkan Amerika Syarikat serta negara Teluk dan Islam “bersaudara” bagi memudahkan dialog dan meredakan ketegangan, menurut kenyataan pejabat beliau.

Advertisement

Perdana Menteri itu mengulangi kecaman “tegas” Pakistan terhadap serangan berterusan Israel ke atas Iran, termasuk serangan terkini terhadap infrastruktur awam, serta menyatakan solidariti Islamabad bersama rakyat Iran yang “berani”.

“Sekali lagi menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa rakyat Iran dan mendoakan agar mereka yang cedera dan terjejas segera pulih,” katanya lagi.

Sharif turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Iran atas penghargaan terhadap usaha ikhlas Pakistan dalam membawa keamanan ke hadapan dan memudahkan dialog di rantau itu, sambil menyatakan harapan agar jalan penyelesaian yang “berdaya maju” dapat ditemukan secara bersama untuk menamatkan permusuhan.

Sementara itu, Pezeshkian menghargai usaha diplomatik Islamabad yang “ikhlas” dan berkongsi pandangannya mengenai serangan berterusan yang “dilakukan oleh Israel terhadap Iran”.

Beliau memuji peranan Sharif dalam  “menyokong”  usaha keamanan serta menekankan keperluan untuk “membina kepercayaan bagi memudahkan rundingan dan pengantaraan,” menurut kenyataan itu.

Sharif memberi jaminan yang Pakistan akan terus berperanan “konstruktif” dalam membawa keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

Pakistan turut mengesahkan peranan langsungnya dalam menyampaikan mesej antara Amerika Syarikat dan Iran ke arah menamatkan perang di Asia Barat.

Terdahulu, sumber di Islamabad memberitahu Anadolu, yang minggu ini adalah kritikal bagi sebarang kemungkinan kejayaan dalam rundingan antara Washington dan Tehran.

Amerika Syarikat dan Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Februari, meragut nyawa lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video