BANGKOK: Prayuth Chan o-cha yang sedang menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan bagi menentukan sama ada beliau boleh meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri Thailand meneruskan rutinnya sebagai Menteri Pertahanan.

Kementerian Pertahanan Thailand mengedarkan foto Prayuth yang dilihat kembali bekerja di kementerian itu hari ini.

Pemangku jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri dalam satu kenyataan berkata, Prayuth akan terus berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan untuk rakyat dan Thailand.

"Kabinet terus berfungsi seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan yang memangku tugas perdana menteri enggan menjawab pertanyaan daripada wartawan pada hari pertama beliau masuk pejabat perdana menteri.

Pada Rabu, Mahkamah Perlembagaan Thailand menggantung Prayuth daripada tugas-tugas rasmi selepas ia memutuskan untuk mendengar petisyen daripada blok pembangkang yang meminta mahkamah menyemak semula had penggal lapan tahunnya.

Pembangkang berkata, tempoh Prayuth ketika beliau mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa tentera 2014 sepatutnya dikira dalam tempoh lapan tahun dan beliau kini telah mencapai had berkenaan.

Bagaimanapun, penyokong Prayut berkata, penggal beliau bermula apabila Perlembagaaan 2017 dikuatkuasakan malah ada yang menyatakan, tempoh itu seharusnya bermula selepas pilihan raya umum 2019.

Perlembagaan 2017 Thailand mengehadkan mana-mana perdana menteri daripada berkhidmat melebihi tempoh lapan tahun secara keseluruhan.

Tidak jelas bila mahkamah akan menyampaikan keputusan muktamad mengenai petisyen itu. - BERNAMA