PM Thailand Anutin lawat Laos sempena ulang tahun ke-75 hubungan dua hala

Anutin (gambar) dijadualkan melawat Vientiane atas jemputan rakan sejawatannya dari Laos, Perdana Menteri Sonexay Siphandone. - Reuters
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan rasmi ke Laos pada 16 Okt sempena sambutan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara serta bagi memperkukuh kerjasama menyeluruh merentasi pelbagai sektor utama.
Jurucakap kerajaan Siripong Angkasakulkiat berkata Anutin dijadualkan melawat Vientiane atas jemputan rakan sejawatannya dari Laos, Perdana Menteri Sonexay Siphandone.
Anutin akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Sonexay serta melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Laos Thongloun Sisoulith bagi mempererat hubungan dan memperkukuh kerjasama di bawah Perkongsian Strategik Thailand-Laos untuk Pertumbuhan dan Pembangunan Mampan.
"Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi luar negara pertama perdana menteri dan amat bermakna kerana ia meraikan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara Thailand dan Laos."Kedua-dua pihak berhasrat membina asas kukuh untuk kerjasama masa depan dengan keyakinan bahawa hubungan erat sebagai negara jiran akan memacu keselamatan bersama, kemakmuran dan kelestarian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Siripong berkata Anutin juga dijangka membincangkan beberapa bidang kepentingan bersama termasuk memerangi kegiatan narkotik dan jenayah rentas sempadan, memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan awam, pendidikan dan tenaga kerja, serta mempromosikan pertukaran rakyat dengan rakyat bagi memperdalam persahabatan antara kedua-dua negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami