Skip to main content

Malaysia

Radzi gesa kerajaan naikkan elaun penjawat awam dalam Belanjawan 2027

Mohd Radzi turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan mekanisme penyelarasan kadar elaun secara berkala berdasarkan perubahan kos sara hidup. - Gambar fail
Mohd Radzi turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan mekanisme penyelarasan kadar elaun secara berkala berdasarkan perubahan kos sara hidup. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyemak dan menaikkan kadar elaun penjawat awam, khususnya Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), supaya lebih selari dengan peningkatan kos sara hidup semasa.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius memandangkan kadar elaun sedia ada dilihat tidak lagi mencerminkan kos sebenar yang ditanggung penjawat awam.

Beliau mengambil contoh kadar ITP sebanyak RM300 yang jauh lebih rendah berbanding kos sewa bilik di Putrajaya yang menurutnya boleh mencecah RM600 sebulan.

“Januari lalu, saya bangkitkan ITP RM300 sedangkan sewa bilik di Putrajaya boleh mencecah RM600,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Menurut bekas Menteri Kanan Pendidikan itu, isu berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya telah beberapa kali dibangkitkan beliau di Parlimen.

Malah, pada sesi Dewan Rakyat kali ini, beliau turut mengemukakan soalan berhubung keperluan menyemak semula kadar BISH, ITP dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA).

Mohd Radzi turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan mekanisme penyelarasan kadar elaun secara berkala berdasarkan perubahan kos sara hidup.

“Saya amat berharap kadar baharu diumumkan dalam Belanjawan 2027 Jumaat ini,” katanya.

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat, 9 Oktober ini.

Must Watch Video

Advertisement