DUNIA
Polis diserang pada malam kelima berturut-turut di Ireland Utara

Keganasan dan perlakuan rusuhan itu merebak ke beberapa bandar lain termasuk Larne, Belfast dan Coleraine. - Reuters
LONDON: Polis diserang untuk malam kelima berturut-turut di Ireland Utara, dalam apa yang digelar sebagai "minggu memalukan" bagi kawasan itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Bom petrol dilemparkan ke arah pasukan rusuhan di Portadown pada malam Jumaat selepas seorang pegawai kanan mengumumkan akan ada peningkatan kehadiran polis di seluruh Ireland Utara menjelang hujung minggu, bagi mengelak kekacauan berterusan.
Penolong Ketua Polis Ryan Henderson berkata mobilisasi itu termasuk penglibatan pegawai dari Scotland bertujuan untuk "meyakinkan komuniti dan melindungi jalanan".
Kekacauan bermula di Ballymena pada Isnin selepas dakwaan serangan seksual terhadap seorang gadis di bandar Co Antrim hujung minggu lalu dan berlanjutan sepanjang minggu.Keganasan dan perlakuan rusuhan itu merebak ke beberapa bandar lain termasuk Larne, Belfast dan Coleraine.
Beberapa kediaman turut menjadi sasaran. Menurut Pihak Berkuasa Perumahan Ireland Utara, kira-kira 50 isi rumah menerima bantuan sepanjang minggu dan 14 keluarga diberi penempatan kecemasan.
Tumpuan keganasan beralih ke Portadown pada Khamis dan berterusan pada Jumaat walaupun pada tahap yang lebih rendah berbanding awal minggu.
Seramai 63 anggota polis cedera dalam kekacauan berterusan itu, yang mendorong pemimpin politik menyeru agar bertenang semasa mesyuarat Majlis British Ireland di Newcastle, Co Down, pada Jumaat.
Menteri Pertama Michelle O'Neill berkata semua pihak mengutuk kekacauan itu dan menggesa agar ia dihentikan.
"Apa yang kita lihat sepanjang empat hari lalu amat menyedihkan dan mengerikan untuk mangsa terdiri wanita, kanak-kanak dan keluarga menjadi mangsa serangan ganas berunsur perkauman dan ia adalah salah dari setiap sudut," katanya.
"Seluruh kerajaan Eksekutif bersatu dalam perkara ini."
Timbalan Menteri Pertama Emma Little-Pengelly menyifatkan "masa yang sukar untuk Ireland Utara" dengan "adegan rusuhan yang memalukan" dan berkata tumpuan beliau kini kepada penduduk kawasan yang terjejas.
Pegawai tambahan dari Scotland akan menyokong Polis Ireland Utara selepas permintaan bantuan bersama dibuat.
Perdana Menteri Scotland John Swinney berkata ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama antara pasukan polis.
Walaupun kekacauan di Ballymena berterusan pada malam Isnin, Selasa dan Rabu, keadaan dilihat reda pada Khamis. Namun, kekacauan masih berlaku di Portadown.
Terdapat juga insiden di bandar lain, termasuk pembakaran Pusat Rekreasi Larne pada Rabu, dan insiden membakar rumah di Coleraine awal pagi Jumaat yang memaksa seorang lelaki dan wanita serta empat anak kecil melarikan diri.
Polis mengklasifikasikan insiden itu sebagai jenayah bakar dengan unsur kebencian perkauman.
Seramai 22 pegawai polis cedera dalam rusuhan malam di Portadown apabila mereka diserang dengan batu besar, bunga api dan tong bir.
Terdapat juga kekacauan sporadik di tempat lain di Ireland Utara pada malam Khamis, termasuk di Templemore Avenue, timur Belfast di mana batu dilempar ke dalam dua rumah di Avoniel Road dalam serangan yang turut diklasifikasikan sebagai berunsur kebencian perkauman.
Kebakaran kecil turut dilaporkan di bulatan Manse Road di Newtownabbey dan polis sedang menyiasat grafiti kebencian antipendatang di Newtownards.
Sementara itu, kebakaran rumah di kawasan Mount Street, Coleraine yang menyebabkan pemindahan satu keluarga dengan tiga anak kecil juga disiasat sebagai jenayah kebencian bermotif perkauman.
Persekutuan Polis, yang mewakili anggota bawahan mendedahkan, sejak keganasan bermula di Ballymena pada Isnin, 63 anggota polis cedera.
Pengerusi Persekutuan Liam Kelly menyifatkannya sebagai "minggu memalukan dengan tahap kekacauan yang amat dahsyat di bandar dan kota."
"Membakar orang keluar dari rumah, menyerang pusat rekreasi dan menyasarkan individu serta harta benda dengan kebencian dan rasisme terang-terangan adalah amat menjijikkan," katanya.
"Sekali lagi, anggota polis kita yang sudah terbeban turut menjadi sasaran bom petrol, batu dan mercun ketika mereka berusaha memastikan keselamatan orang awam dan mengekalkan ketenteraman awam."
"Mereka bertindak dengan penuh keberanian dan profesionalisme - dan masyarakat berhutang budi kepada mereka."
Ketua Polis Ireland Utara Jon Boutcher memberi amaran pada Khamis yang pihaknya akan memburu "pelampau dan perkauman" di sebalik kekacauan itu.
Dalam pada itu, beliau berkata gadis yang menjadi mangsa serangan seksual di Ballymena "lebih trauma" akibat rusuhan yang berlarutan sepanjang minggu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami