DUNIA
Polis Jakarta tumpas sindiket dadah antarabangsa, rampas 47kg methamphetamine

Suspek didakwa di bawah Artikel 114(2) dan 112(2) Undang-Undang Narkotik Indonesia 2009, yang memperuntuk hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara maksimum 20 tahun. - Foto X/Poldametrojaya
JAKARTA: Polis Metropolitan Jakarta mengumumkan penahanan tujuh pengedar dadah serta rampasan 47 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, dipercayai milik sindiket pengedaran dadah antarabangsa, lapor agensi berita ANTARA.
Ketua Bahagian Narkotik Polis Jakarta, Pesuruhjaya Kanan Ahmad David, berkata para suspek ditahan dalam beberapa serbuan di Jakarta dan kawasan sekitarnya sepanjang Julai dan Ogos.
Beliau menjelaskan sindiket itu beroperasi selama kira-kira empat bulan dan menggunakan bungkusan teh Cina untuk menyeludup dadah jenis kristal.
Pengedar turut menggunakan sistem "drop point" meninggalkan bungkusan di lokasi tertentu bagi mengelak serahan secara langsung, kata David.Operasi polis bermula pada awal Julai selepas menerima maklumat orang awam. Pada 10 Julai, tiga suspek dikenali sebagai SA, DE, dan AW ditahan di sebuah rumah sewa di Jakarta Barat. Dalam serbuan itu, polis menemukan 11kg methamphetamine yang disembunyikan dalam ruang khas sebuah kenderaan.
Pada 31 Julai, tiga lagi suspek, AD, DM, dan MM ditahan di Tangerang Selatan dan Jakarta Selatan. Polis merampas 35kg methamphetamine yang dibungkus dalam paket teh berwarna emas dan turut disembunyikan dalam kenderaan yang diubah suai.
Suspek ketujuh, Z, ditahan di Jakarta Timur pada 12 Ogos. Penahanannya membawa kepada penemuan 1.02kg methamphetmine yang disorokkan dalam tempat duduk motosikal.
David berkata dadah berkenaan dipercayai berasal dari Iran dan China, dihantar melalui Malaysia sebelum masuk ke Indonesia melalui Sumatera dan seterusnya dihantar ke Jakarta melalui jalan darat.
Ketujuh-tujuh suspek didakwa di bawah Artikel 114(2) dan 112(2) Undang-Undang Narkotik Indonesia 2009, yang memperuntuk hukuman mati, penjara seumur hidup atau penjara maksimum 20 tahun.
Bagi membendung perdagangan dadah, polis Jakarta akan meningkatkan pemantauan terhadap penjualan narkotik melalui platform e-dagang dan media sosial.
David menegaskan pihaknya komited dalam membanteras jenayah dadah yang dianggap sebagai ancaman serius terhadap generasi muda Indonesia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami