LONDON: Polis Metropolitan London (Met) mengesahkan pada Sabtu bahawa pihaknya menerima sepucuk surat pada 2019 yang mengandungi beberapa dakwaan berkaitan bapa kepada isteri Putera Harry, Meghan Markle.
Bagaimanapun, polis memaklumkan, maklumat tersebut hanya disalurkan kepada pasangan diraja itu untuk makluman mereka dan tidak dikongsi dengan mana-mana agensi penguat kuasa lain.
Meghan pada Jumaat meluahkan rasa kecewa dan terganggu susulan dakwaan bahawa bapanya, Thomas Markle, memiliki imej penderaan seksual kanak-kanak.
Beliau turut mendedahkan telah memutuskan hubungan antara Thomas dan kedua-dua anaknya susulan beberapa tuduhan yang disifatkannya sebagai membimbangkan dan meresahkan.
Akhbar The Sun dan Daily Mail melaporkan, imej berkenaan didakwa ditemui dalam barangan milik Thomas di bekas kediamannya di Filipina.
Thomas bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut.
Meghan, 45, turut berkata, beliau pernah melihat sepucuk surat yang dihantar kepada Polis Metropolitan serta unit Royalty and Specialist Protection pada 2018 yang mengandungi tuduhan serupa.
Dalam satu kenyataan, Met memaklumkan bahawa pada Januari 2019 pihaknya menerima surat yang mengandungi "beberapa dakwaan berkaitan kesalahan yang didakwa berlaku di luar United Kingdom."
"Surat itu telah diteliti dan keputusan dibuat untuk menyerahkannya kepada pejabat Duke dan Duchess of Sussex bagi tujuan makluman," kata jurucakap polis, merujuk kepada gelaran rasmi Harry dan Meghan.
Dalam kenyataannya pada Jumaat, Meghan berkata, beliau diberi jaminan bahawa dakwaan terhadap bapanya sedang disiasat.
Namun, satu sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu berkata, polis sebenarnya tidak menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
Menurut Met, butiran dakwaan yang terkandung dalam surat berkenaan juga tidak dikongsikan dengan mana-mana agensi penguat kuasa lain.
Pasukan polis itu turut memaklumkan, pihaknya sedang menilai semula cara kes tersebut dikendalikan, termasuk mempertimbangkan sama ada ia perlu dirujuk kepada badan pemantau polis.
Thomas Markle yang kini dilaporkan berada di sebuah pusat pemulihan di Florida memberitahu Daily Mail bahawa dakwaan terhadapnya adalah "fitnah yang jijik."
Sementara itu, seorang pegawai polis di Cebu City, Filipina, yang enggan dikenali memberitahu agendi media antarabangsa AFP bahawa siasatan berhubung perkara tersebut masih berjalan.
Di Amerika Syarikat, jurucakap Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata, agensi itu menyedari dakwaan berkenaan dan akan memberikan bantuan sewajarnya kepada pihak berkuasa Filipina jika diperlukan.
Putera Harry, anak kedua Raja Charles III dan adik kepada pewaris takhta Putera William, berkahwin dengan Meghan, bekas pelakon dari Amerika Syarikat, di Istana Windsor pada Mei 2018.
Pasangan itu meninggalkan Britain serta melepaskan peranan rasmi dalam institusi diraja pada 2020 sebelum kembali menetap di United Kingdom bersama dua anak mereka pada Ogos lalu. - Agensi