KUALA LUMPUR: Industri kewangan Islam Malaysia telah berkembang dan tidak lagi terhad kepada perbankan tradisional dengan memainkan peranan yang lebih luas dalam kehidupan masyarakat dan ekonomi daripada membantu usahawan mikro membina perniagaan mampan kepada membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menembusi pasaran global.
Selama lebih empat dekad, industri itu berkembang daripada segmen khusus kepada ekosistem kewangan yang menyeluruh, menyokong perniagaan, isi rumah dan pembangunan ekonomi negara.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kewangan Islam merangkumi 48 peratus daripada keseluruhan aset kewangan Malaysia, dengan bahagiannya dijangka melepasi 50 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Industri menyumbang sebanyak RM160 bilion dalam penerbitan sukuk untuk membiayai sektor ekonomi sebenar pada 2025.
“Pembiayaan perniagaan oleh bank Islam berkembang sebanyak 9.7 peratus, menyokong perniagaan dalam pelbagai sektor ekonomi manakala pertumbuhan pembiayaan mikro untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mencatatkan sebanyak 13.3 peratus,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran kewangan Islam dunia untuk tahun ke-14 berturut-turut seperti yang diiktiraf dalam laporan Indeks Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2026, mencerminkan usaha berterusan selama empat dekad dalam membangunkan ekosistem kewangan Islam yang menyeluruh dan progresif.
Melangkah ke hadapan, BNM akan terus bekerjasama dengan industri dan rakan kongsinya untuk memacu inovasi yang berteraskan matlamat, pendigitalan dan kewangan mampan.
Sejarah Industri Kewangan Islam Malaysia
Industri kewangan Islam Malaysia telah melalui beberapa fasa pembangunan sejak penubuhan bank Islam yang pertama, Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB), diperbadankan pada Mac 1983 dan memulakan operasi secara rasmi pada 1 Julai 1983.
Mengimbas kembali evolusi industri itu, Abdul Rasheed menggariskan empat fasa utama dalam pembangunan kewangan Islam, iaitu pembinaan asas dari 1983 hingga 2000, mengarusperdanakan dari 2001 hingga 2010, kepelbagaian dan inovasi dari 2011 hingga 2021 dan pemerkasaan kewangan berasaskan nilai dari 2022 hingga kini.
Beliau menjelaskan, pengenalan tetingkap perbankan Islam membolehkan bank konvensional menawarkan perkhidmatan kewangan yang mematuhi Syariah manakala pembangunan pasaran wang antara bank Islam turut menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan industri tersebut.
“Perkembangan ini menjadi asas kepada pertumbuhan perbankan Islam daripada penawaran khusus kepada komponen arus perdana dalam sistem kewangan Malaysia,” katanya.
Malaysia juga kekal sebagai pemain utama dalam pasaran kewangan Islam ASEAN, dengan institusi kewangan Malaysia menyumbang kira-kira 82 peratus daripada aset perbankan Islam dan 91 peratus daripada perniagaan takaful di rantau ini.
Kewangan Islam Tawar Penyelesaian Pembiayaan Lebih Luas Melalui Perkongsian Risiko
Abdul Rasheed berkata, kewangan Islam menawarkan rangkaian penyelesaian pembiayaan yang lebih luas melalui pelbagai kontrak termasuk perkongsian keuntungan dan perjanjian kerjasama yang membolehkan perkongsian risiko lebih menyeluruh.
Beliau berkata, kewangan konvensional dan kewangan Islam mempunyai matlamat ekonomi yang sama, iaitu menggembleng simpanan dan membiayai perniagaan.
Bagaimanapun, katanya, kewangan Islam dibezakan oleh prinsip Syariah yang mensyaratkan pembiayaan menyokong aktiviti ekonomi sebenar dan mewujudkan nilai kepada peminjam, pemegang saham dan ekonomi secara keseluruhan.
“Kewangan Islam turut menekankan aspek keadilan, ketelusan, kepercayaan dan tadbir urus yang baik manakala kepelbagaian struktur kontraknya membolehkan institusi kewangan menawarkan penyelesaian melangkaui pinjaman konvensional, termasuk akaun pelaburan dengan profil risiko dan pulangan yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, takaful juga mempunyai struktur tersendiri, dengan pemisahan yang jelas antara pengendali dan peserta, yang secara kolektif memiliki dana risiko.
Keistimewaan Kewangan Sosial
Abdul Rasheed berkata, zakat dan wakaf boleh digabungkan dengan pembiayaan komersial bagi membantu penerima membina sumber pendapatan yang mampan berbanding terus bergantung pada bantuan kewangan.
Pendekatan ini seiring dengan pengantaraan berasaskan nilai (VBI) yang bertujuan memastikan institusi kewangan Islam bukan sahaja menjana pulangan kewangan, malah memberikan manfaat positif kepada rakyat dan masyarakat.
“Malaysia memperkenalkan inisiatif iTEKAD semasa pandemik COVID-19 bagi memperluas pembiayaan sosial untuk menyokong usahawan mikro berpendapatan rendah dan komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan.
“Program itu telah berkembang daripada 57 peserta pada 2020 kepada kira-kira 16,000 peserta pada masa ini. Usahawan yang menyertai program tersebut mencatatkan peningkatan jualan bulanan sebanyak 92 peratus dan mewujudkan lebih 2,400 peluang pekerjaan.
“Sebahagian peserta juga telah beralih daripada penerima zakat kepada pembayar zakat apabila pendapatan mereka meningkat manakala transaksi secara digital termasuk kemudahan pembayaran melalui kod QR membantu mereka menembusi pasaran yang lebih luas termasuk mencapai pembeli dari luar negara,” katanya.
Inisiatif itu kemudiannya diperluas dengan merangkumi sokongan pekerjaan dan akses kepada ekosistem halal menerusi ‘Dapur iTEKAD KITA’ yang baharu, sebuah dapur berpusat yang menyediakan akses kepada usahawan untuk menggunakan kemudahan bertaraf komersial dengan pensijilan halal bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan pengembangan pasaran.
Inisiatif ini dibangunkan berdasarkan pengalaman daripada program yang dilancarkan di kompleks Penang Times Square, Pulau Pinang melibatkan 40 usahawan mikro terpilih yang kebanyakannya memulakan perniagaan dari rumah.
Abdul Rasheed berkata, dapur berpusat kedua dijangka diwujudkan di Seberang Perai, Pulau Pinang pada pertengahan 2027 sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pelaksanaan inisiatif itu ke seluruh negara.
Perkasa Amalan Hijau Dalam Perniagaan Halal Bantu PMKS Tembusi Pasaran Global
Bagi perniagaan halal, Abdul Rasheed berkata, penerapan amalan lestari semakin penting memandangkan pasaran global kini semakin menitikberatkan piawaian alam sekitar dan keperluan rantaian bekalan.
Menurutnya, program Amalan Hijau Perniagaan Halal (GHB) menyediakan sokongan secara langsung dan praktikal kepada perniagaan halal terutamanya PKS dan syarikat bersaiz sederhana yang terlibat dalam rantaian bekalan halal atau perkhidmatan berkaitan halal untuk melaksanakan amalan lestari dan mengurangkan pelepasan karbon.
Beliau berkata, melaksanakan amalan sedemikian akan meningkatkan keupayaan PMKS untuk memenuhi keperluan alam sekitar yang semakin ketat di pasaran eksport termasuk Eropah selain memperkasakan keupayaan mereka untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada syarikat multinasional (MNC).
“Institusi kewangan Islam boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong peralihan ini dengan menyediakan pembiayaan bersesuaian selain bantuan teknikal dan sokongan pembangunan kapasiti,” katanya.
Inovasi Berteraskan Matlamat, Kewangan Memacu Impak
Abdul Rasheed berkata, hala tuju masa depan industri ini akan berpandukan prinsip ‘inovasi berteraskan matlamat, kewangan memacu impak’ dengan menyasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik, pendapatan lebih tinggi serta ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“Kita mahu membina sebuah negara yang rakyatnya menikmati kehidupan lebih panjang, sihat dan terjamin dari segi kewangan,” katanya.
Selain itu, katanya, kewangan Islam perlu menerapkan inovasi yang memberikan manfaat ekonomi dan sosial secara nyata selain memastikan pembiayaan disalurkan kepada perniagaan serta individu yang memerlukan.
Pada masa yang sama, beliau berkata, inovasi perlu memberi manfaat praktikal termasuk memperluas akses kepada pembiayaan bagi komuniti yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan, menambah baik penilaian kredit dan mengurangkan kos transaksi.
“Teknologi dapat membantu institusi kewangan menilai peminjam yang mungkin tidak mempunyai rekod kredit konvensional dengan menganalisis tingkah laku kewangan dan corak pembayaran balik mereka,” katanya.
-- BERNAMA