BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand merampas enam kucing jenis pedigri dalam serbuan ke atas sindiket dadah pada Selasa.

Kucing berkenaan dipercayai digunakan sindiket tersebut dalam kegiatan pengubahan wang haram, kata polis.

Antara kucing yang dirampas termasuk lima kucing jenis Scottish Fold dan seekor kucing jenis Bengal yang dirampas di sebuah rumah di daerah Rayong, kepunyaan seorang wanita dipercayai digunakan sindiket dadah.

Menurut polis, wanita berkenaan antara tiga individu yang dikehendaki polis sejak Januari, namun dia berjaya melarikan diri sebelum diberkas.

Polis turut merampas rumah berkenaan, sebidang tanah dan sebuah kereta dipercayai digunakan dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Kucing berkenaan pula akan dilelong sementara pihak polis menjalankan siasatan ke atas kes sindiket dadah berkenaan, tambah polis.

"Pemilik kucing tersebut telah membantu pihak berkuasa dalam siasatan kami. Dan kini kami telah mendapat waran untuk menangkapnya," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Biro Narkotik Thailand, Pornchai Charoenwong kepada Reuters.

"Enam kucing tersebut dinilai berpuluh ribu baht Thailand dan dianggap sebagai pengubahan wang haram," katanya.

Tambah Pornchai, jika wanita terbabit boleh membuktikan dia tidak terlibat dalam sindiket dadah berkenaan, kesemua kucing dan aset yang dirampas semasa serbuan dilakukan polis akan dikembalikan kepadanya, atau dibayar balik nilainya.

Kes tersebut telah dikecam kumpulan kebajikan haiwan yang menggesa pihak berkuasa membatalkan lelongan tersebut.

"Kedai haiwan peliharaan akan beratur untuk membeli kucing tersebut, namun kucing-kucing ini tidak harus diperdagangkan.

"Berikan kepada kami supaya kami boleh mencari pemilik yang sesuai," kata Setiausaha Agung Persatuan Penjaga Haiwan Thailand, Roger Lohanan kepada Reuters.

"Kita harus utamakan kebajikan haiwan sebelum menambah hasil kerajaan tempatan," tambahnya