LUCKNOW: Polis menahan anak lelaki kepada seorang menteri dalam kerajaan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Sabtu berhubung penglibatannya dalam tunjuk perasaan yang mengorbankan sembilan orang beberapa pada 3 Oktober lalu.

Tunjuk perasaan oleh puluhan ribu petani diadakan bagi menentang undang-undang baharu melibatkan aktiviti pertanian di utara negara berkenaan.

Empat petani disahkan meninggal dunia dalam kejadian pada Ahad lalu selepas dilanggar sebuah kereta kepunyaan Menteri Dalam Negeri, Ajay Mishra ketika tunjuk perasaan itu diadakan di Lakhimpur Kheri, Uttar Pradesh.

Saksi kejadian mendakwa anak lelaki Mishra, Ashish berada dalam kenderaan itu ketika kejadian.

Pemandu serta tiga lagi ahli parti politik Parti Bharatiya Janata yang turut berada dalam kenderaan tersebut terbunuh selepas penunjuk perasaan memukul mereka dengan kayu dalam kekecohan yang berlaku susulan perlanggaran tersebut.

Namun Ashish menafikan terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu ketua persatuan petani, Darshan Pal dan ketua parti pembangkang, Akhilesh Singh menggesa kerajaan melucutkan Ajay Mishra daripada barisan kabinet.

Polis turut menemui mayat seorang wartawan tempatan di tempat kejadian namun tidak mendedahkan sebab dia meninggal dunia.

Tunjuk perasaan tercetus selepas kerajaan meluluskan undang-undang berkaitan aktiviti pertanian pada September tahun lalu yang dikatakan akan menjejaskan pendapatan para petani.

Minggu lalu, ribuan petani adakan tunjuk perasaan di New Delhi setahun selepas undang-undang itu diluluskan.

Pihak kerajaan berkata undang-undang tersebut perlu bagi memajukan industri pertanian negara serta meningkatkan produktiviti.

Namun para petani berkata, ia hanya akan menguntungkan syarikat besar kerana terpaksa jual hasil mereka pada harga yang rendah.