BANGKOK:Polis Thailand memberi amaran keras kepada kumpulan penunjuk perasaan bahawa mereka berdepan pendakwaan sekiranya meneruskan demonstrasi.

Jurucakap polis, Kissana Phataracharoen berkata, penglibatan dalam tunjuk perasaan itu disifatkan mencabuli undang-undang.

“Kepada mereka yang menghadiri tunjuk perasaan, persoalannya adakah mereka akan didakwa?

“Kami sedang mengumpul bukti dan saksi. Kami meminta mereka meninggalkan kawasan ini kerana mereka telah melanggar undang-undang. Saya mahu semua rakyat  belajar daripada mereka yang telah didakwa.

“Apabila anda mengekspresikan hak anda, ia mesti dibuat berdasarkan lunas undang-undang. Anda tidak boleh mencabul kebebasan dan kehidupan orang lain,”katanya.

Amaran keras itu diyatakan ketika protes tiada tanda akan reda.

Kumpulan itu juga tidak mengendahkan larangan demonstrasi yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Protes bagaimanapun berlangsung secara aman, dan kumpulan itu bersurai beberapa jam sebelum perintah berkurung berkuatkuasa pada 6 petang.

Kumpulan itu mendesak supaya sekurang-kurangnya 20 aktivis dibebaskan.

Ini adalah kali pertama protes berlangsung ketika Raja Maha Vajiralongkorn berada di dalam negara.

Penunjuk perasaan mendesak Perdana Menteri Prayuth Chan o Cha meletakkan jawatan.

Bekas ketua tentera itu mengambil alih pentadbiran kerajaan selepas rampasan kuasa 2014 dan dilantik sebagai perdana menteri selepas pilihan raya tahun lalu.

Selain tuntutan letak jawatan ini, kumpulan penunjuk perasaan juga mendesak sistem monarki Thailand dihapuskan.