BANGKOK: Polis Thailand membongkar operasi sebuah sindiket penipuan dan menahan sembilan suspek termasuk dua rakyat Malaysia yang didakwa memperdaya lebih 50 mangsa penipuan pelaburan mengakibatkan kerugian kira-kira 800 juta baht (RM105.26 juta).

Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah Ekonomi, Mej Jen Polis Puttidej Bunkrapue berkata seorang lelaki Malaysia berusia 42 tahun disyaki dalang sindiket ini diberkas di Sadao, Songkhla pada 6 Mac lepas.

Seorang lagi lelaki berusia 26 tahun memiliki rekod jenayah di Malaysia bersama teman wanitanya seorang warga Thailand berusia 30 tahun ditahan di Bangkok pada keesokan harinya.

Beliau berkata dua lelaki Malaysia dan wanita Thailand itu disyaki merupakan sebahagian daripada anggota sindiket transnasional yang beroperasi merentas Malaysia, Thailand dan Kemboja.

"Sindiket itu dianggarkan memiliki lebih daripada lima bilion baht (RM657.90 juta) yang beredar dalam rangkaiannya.

Siasatan awal mendapati sindiket itu memperdaya lebih daripada 50 mangsa, kebanyakannya wanita. Ada mangsa yang memindahkan antara 10 hingga 15 juta bhat pada satu-satu masa.

Seorang wanita warga emas Thai mengalami kerugian yang terbesar, iaitu 50 juta bhat (RM6.58 juta), katanya kepada Bernama.

Puttidej berkata dua rakyat Malaysia itu akan menghadapi pertuduhan termasuk penipuan dan jenayah siber yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mungkin menghadapi pertuduhan tambahan iaitu jenayah terancang transnasional yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, katanya.

Siasatan mendapati capaian sindiket itu merentas beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Kemboja, Thailand, Malaysia dan juga Hong Kong.

Lelaki Malaysia berusia 42 tahun yang disyaki sebagai dalang sindiket ini didapati kerap ke Malaysia, Thailand dan Kemboja dan penyiasat menemukan pautan alamat Protokol Internet dan transaksi kewangan kepada sindiket itu di Hong Kong.

Puttidej berkata polis menyita 84 akaun bank mengandungi lebih daripada 20 juta bhat selain daripada 20 akaun kripto.

"Polis juga merampas 33 komputer, 65 telefon bimbit dan satu koleksi barangan mewah termasuk kereta, beg dan jam tangan berjenama," katanya.

Beliau berkata mahkamah juga mengeluarkan waran tangkap terhadap lebih 50 suspek termasuk lapan rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dengan sindiket ini.

"Kami sedang memohon kerjasama daripada polis Malaysia untuk memburu lebih ramai suspek, kata Puttidej.

Mangsa-mangsa diperdaya supaya melabur dalam satu aplikasi palsu dipanggil "Nichare", yang menjanjikan keuntungan mudah dan membenarkan pengeluaran awal wang untuk membina keyakinan mangsa terhadap pelaburan itu.

Bagaimanapun, apabila mangsa cuba untuk mengeluarkan jumlah wang yang banyak kemudian, mereka bertemu dengan halangan. Penipu ini kemudian menekan mereka supaya membayar fi tambahan, termasuk fi jaminan dan cukai bagi mendapatkan kembali pelaburan asal mereka.

Taktik pemangsa ini akhirnya menyebabkan ramai mangsa membuat aduan.

-- BERNAMA