Polis Thailand pertingkat operasi banteras jenayah seluruh negara menjelang pilihan raya

Sebanyak 1,420 senjata api terdiri daripada 175 senjata berdaftar dan 1,245 senjata tidak berdaftar, serta 4,463 butir peluru dirampas dalam operasi pelbagai agensi yang dijalankan antara 25 dan 31 Januari. - AP
BANGKOK: Polis Thailand memperhebat operasi membanteras jenayah di seluruh negara menjelang pilihan raya umum, yang menyaksikan penahanan 1,406 suspek atas kesalahan berkaitan senjata api dan bahan letupan.
Timbalan Ketua Polis Negara Thailand (Keselamatan), Jen Pol Samran Nualma berkata sebanyak 1,420 senjata api terdiri daripada 175 senjata berdaftar dan 1,245 senjata tidak berdaftar, serta 4,463 butir peluru dirampas dalam operasi pelbagai agensi yang dijalankan antara 25 dan 31 Januari.
"Dalam tempoh itu, polis mengambil tindakan undang-undang terhadap 1,431 kes melibatkan senjata api dan peluru," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Samran, yang juga Pengarah Pusat Keselamatan dan Penyelenggaraan Ketenteraman Pilihan Raya Polis Diraja Thailand, berkata masing-masing tiga kes melibatkan bahan letupan dan senjata gred tentera turut direkodkan.
Pihak berkuasa juga mengambil tindakan terhadap 3,900 kes berkaitan dadah dalam tempoh yang sama, melibatkan penangkapan 3,857 suspek.
Samran berkata Ketua Polis Negara Jen Pol Kitrat Phanphet telah mengarahkan pegawai untuk menjalankan tugas dengan tegas bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam selaras dengan Pelan Perlindungan Pilihan Raya/66.
Beliau berkata Kitrat turut mengarahkan mobilisasi di seluruh negara bagi membanteras jenayah, meningkatkan keyakinan orang ramai serta memastikan keselamatan nyawa dan harta benda, dengan penekanan khusus terhadap jenayah am serta kesalahan melibatkan senjata api, peluru, bahan letupan dan narkotik.
"Polis Diraja Thailand telah mengarahkan semua unit di bawah kawalannya untuk mengekalkan langkah penguatkuasaan yang ketat dan meneruskan operasi penangkapan, terutamanya bagi kesalahan melibatkan senjata api, bahan letupan, dadah serta jenayah berkaitan pilihan raya yang lain bagi memelihara ketenteraman awam menjelang hari pengundian," katanya.
Pada Ahad (8 Feb), rakyat Thailand akan keluar mengundi bagi memilih kesemua 500 ahli Dewan Perwakilan untuk tempoh empat tahun akan datang.
Satu referendum perlembagaan juga akan diadakan serentak dengan pilihan raya umum bagi meninjau sokongan orang ramai terhadap penggubalan perlembagaan baharu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


