DUNIA
Pope Leo seru tamatkan perang di Ukraine dan Gaza

Pemimpin Katolik itu mengulas mengenai rundingan untuk menamatkan perang di Ukraine dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza. - Reuters
LONDON: Pemimpin Katolik Pope Leo XIV menyeru supaya perang di Ukraine dan Gaza dihentikan, menggesa para pemimpin dunia mengutamakan dialog berbanding keganasan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Holy See tidak dapat menghentikannya ... tetapi kami sedang berusaha, katakanlah, melalui 'diplomasi lembut', sentiasa mengajak dan menggalakkan usaha tanpa keganasan menerusi dialog dan mencari penyelesaian - kerana masalah seperti ini tidak dapat diselesaikan melalui peperangan," kata Pope Leo pada Rabu.
Bercakap kepada wartawan di Castel Gandolfo, tempat beliau menghabiskan sebahagian cuti musim panas, pemimpin Katolik itu mengulas mengenai rundingan untuk menamatkan perang di Ukraine dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
Ditanya mengenai sidang kemuncak pada Jumaat antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin di Alaska, beliau berkata: "Kita mesti sentiasa usahakan gencatan senjata. Keganasan, korban nyawa yang ramai, mesti dihentikan. Mari kita lihat bagaimana mereka dapat mencapai persetujuan. Kerana selepas sekian lama, apa tujuan perang ini? Kita mesti sentiasa mengadakan dialog, usaha diplomatik, bukan keganasan, bukan senjata."Beliau turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap situasi di Gaza, iaitu pertempuran dan sekatan telah menyebabkan ramai penduduk kekurangan makanan.
"Krisis kemanusiaan ini mesti diselesaikan. Kita tidak boleh meneruskan keadaan ini. Kita sedar akan keganasan, dan kita menghormati semua yang telah terkorban, begitu juga dengan para tebusan - mereka mesti dibebaskan.
"Tetapi kita juga mesti memikirkan ramai yang sedang mati kelaparan," katanya.
Pope Leo menyifatkan matlamat itu sebagai sebahagian daripada "diplomasi lembut" Holy See, pendekatan yang menurutnya penting untuk isu-isu yang "tidak dapat diselesaikan melalui peperangan."
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami