Prabowo: Indonesia akan rampas lebih banyak tanah sawit haram tahun ini

Presiden Prabowo Subianto berkata setakat ini pihak berkuasa telah merampas kira-kira empat juta hektar ladang sawit yang didapati beroperasi melanggar undang-undang. - Gambar fail/BERNAMA
JAKARTA: Kerajaan Indonesia berikrar akan merampas tambahan antara empat hingga lima juta hektar tanah sawit haram dalam tindakan yang dipergiatkan bagi memerangi aktiviti haram dan rasuah.
Presiden Prabowo Subianto berkata setakat ini pihak berkuasa telah merampas kira-kira empat juta hektar ladang sawit yang didapati beroperasi melanggar undang-undang.
Selain ladang sawit, beliau berkata pihak berkuasa turut mengambil tindakan terhadap ratusan operasi perlombongan haram, sekali gus menyelamatkan negara beratus trilion rupiah.
Namun, beliau berkata masih banyak ketirisan berlaku dan menggesa menteri Kabinet, pegawai kerajaan serta rakyat untuk berganding bahu menyokong usaha tersebut.
"Kita melawan korupsi, kita banteras penyelewengan, kita tegakkan hukum, jangan ragu-ragu," katanya dalam ucapan pada acara menuai hasil pertanian di Karawang, Jawa Barat, Rabu.
Pada 2025, pihak berkuasa Indonesia merampas lebih empat juta hektar tanah yang dipercayai digunakan secara haram bagi kegiatan perlombongan, perladangan sawit dan perhutanan, dengan nilai dianggarkan 150 trilion rupiah (US$8.9 bilion).
Dalam perkembangan berasingan, Prabowo berkata kerajaan merancang membangunkan 1,100 kampung nelayan pada 2026 sebagai sebahagian sasaran meningkatkan pengeluaran hasil laut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


