MOSCOW: Mojtaba Khamenei, anak kepada Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei yang terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel minggu lepas, muncul sebagai calon utama untuk menjadi pemimpin agung Iran seterusnya, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan akhbar The New York Times yang turut merujuk kepada pegawai Iran.
Tokoh agama kanan yang bertanggungjawab memilih pemimpin agung Iran yang baharu, mengadakan pertemuan pada Selasa bagi membincangkan perkara itu, dan anak lelaki kepada bekas pemimpin yang terbunuh itu muncul sebagai calon pilihan utama, menurut laporan berkenaan pada Selasa.
Advertisement
Kemungkinan untuk mengisytiharkan Mojtaba Khamenei sebagai pengganti bapanya dipertimbangkan seawal pagi Rabu, namun timbul kebimbangan bahawa langkah itu boleh menjadikannya sasaran AS dan Israel, menurut laporan itu.
Pada 28 Feb, AS dan Israel melancarkan beberapa siri serangan ke atas sasaran di dalam Iran, termasuk di Tehran, dengan laporan mengenai kemusnahan serta kematian orang awam. Televisyen kerajaan Iran mengesahkan kematian pemimpin agungnya. Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas wilayah Israel serta kemudahan ketenteraan AS di Timur Tengah.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI