DUNIA
Prabowo sahkan empat pulau dipertikai milik provinsi Aceh

Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengesahkan bahawa empat pulau yang menjadi pertikaian pentadbiran antara dua provinsi adalah milik Aceh, menurut Menteri Sekretariat Negara Prasetyo Hadi pada Selasa. - Gambar fail/REUTERS
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengesahkan bahawa empat pulau yang menjadi pertikaian pentadbiran antara dua provinsi adalah milik Aceh, menurut Menteri Sekretariat Negara Prasetyo Hadi pada Selasa.
Pulau-pulau berkenaan iaitu Pulau Panjang, Pulau Lipan, Pulau Mangkir Gadang dan Pulau Mangkir Ketek telah mencetuskan ketegangan antara pemerintah provinsi Aceh dan Sumatera Utara.
"Presiden telah memutuskan bahawa berdasarkan dokumen rasmi yang dimiliki pemerintah, keempat-empat pulau ini secara pentadbiran adalah sebahagian daripada Aceh," katanya dalam sidang media di kompleks Istana Presiden, yang diikuti secara langsung menerusi dalam talian.
Keputusan pemilikan pulau-pulau diumum selepas mesyuarat yang dipengerusikan Prabowo, berdasarkan laporan daripada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sekretariat Negara dan Pemerintah Provinsi Daerah Istimewa Aceh.Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Sufmi Dasco Ahmad, Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian, Gabenor Sumatera Utara Bobby Nasution dan Gabenor Aceh Muzakir Manaf.
"Kami berharap keputusan ini menyelesaikan kedinamikan yang sedang berlaku dan menghentikan spekulasi dalam kalangan masyarakat," kata Prasetyo.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa mana-mana pemerintah provinsi cuba secara sepihak menuntut pemilikan pulau-pulau berkenaan.
Muzakir berkata keputusan yang dicapai menandakan satu sejarah baharu antara kedua-dua provinsi.
"Hari ini mencatatkan satu sejarah meskipun kecil. Harapan kami agar tiada pihak yang merasa rugi. Semoga tiada lagi pertikaian dan keadaan terus aman serta damai," katanya.
Bobby menyeru agar seluruh penduduk Sumatera Utara agar tidak mudah terhasut atau terpengaruh dengan sentimen yang memecahbelahkan.
"Penyelesaian ini dicapai secara baik, bijaksana dan pantas atas sokongan Presiden," tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami