Prabowo undang pemimpin dunia ke Sidang Kemuncak Impak Lautan di Bali Jun ini

Prabowo turut mengetengahkan penubuhan dana kekayaan negara Indonesia, Danantara, yang menurut beliau telah membantu meletakkan negara itu sebagai "lubuk peluang" baharu di samping menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan. - fotoREUTERS
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengundang pemimpin dunia dan tokoh global untuk menghadiri Sidang Kemuncak Impak Lautan (OIS) di Bali pada Jun ini, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama dalam perlindungan marin dan kelestarian lautan.
Beliau berkata ini merupakan kali pertama Indonesia menjadi tuan rumah dan menaja acara itu yang dianjurkan dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia (WEF).
"Saya berharap dapat bertemu dengan ramai daripada anda yang berada di dalam dewan ini di Indonesia nanti," katanya dalam ucapan pada WEF 2026 di Davos, Switzerland pada Khamis yang disiarkan secara langsung melalui YouTube.
Mesyuarat Tahunan WEF 2026 berlangsung dari 19 hingga 23 Jan dengan tema "A Spirit of Dialogue", menghimpunkan pemimpin dunia, pakar ekonomi, ahli akademik serta pengamal industri untuk membincangkan cabaran ekonomi global yang mendesak.
Prabowo berkata sidang kemuncak pada Jun itu antara lain akan menampilkan Ray Dalio, pengasas kapal penerokaan lautan bukan berasaskan keuntungan, OceanX.
"Indonesia, dengan tiga perempat daripada wilayahnya adalah laut, sangat mengambil berat tentang masa depan lautan kami," katanya.
Dalam ucapannya, Prabowo menegaskan bahawa Indonesia akan terus mengutamakan keamanan berbanding kekacauan, selaras dengan dasar luar tidak memihak yang diamalkan sejak sekian lama, sambil kekal sebagai warga global yang bertanggungjawab dan jiran baik yang hidup harmoni dengan alam semula jadi.
"Seribu kawan adalah terlalu sedikit bagi kami, manakala satu musuh adalah terlalu ramai," katanya.
Prabowo turut mengetengahkan penubuhan dana kekayaan negara Indonesia, Danantara, yang menurut beliau telah membantu meletakkan negara itu sebagai "lubuk peluang" baharu di samping menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Beliau berkata Danantara juga dibenarkan merekrut ekspatriat dan warga asing untuk menerajui syarikat-syarikat utama sebagai langkah meningkatkan kecekapan dan tadbir urus, dengan matlamat mewujudkan pengurusan bertaraf dunia mengikut piawaian antarabangsa.
Menyentuh mengenai cabaran tadbir urus, beliau turut memperkenalkan istilah "Greedonomics" yang digambarkan sebagai ekonomi yang dipacu oleh sifat tamak dan amalan rakus, di mana perniagaan melanggar undang-undang termasuk menyogok pegawai kerajaan untuk menjalankan aktiviti haram.
"Saya menerima laporan bahawa sesetengah daripada mereka dalam mesyuarat berkata, 'Oh, tidak mengapa, tiada pegawai kerajaan yang tidak boleh dibeli'. Baiklah, saya mencabar mereka untuk cuba membeli pegawai daripada pentadbiran saya. Mereka akan menerima kejutan besar," tegas beliau.
Beliau menyatakan bahawa dalam tahun pertama memegang jawatan, pentadbirannya telah merampas empat juta hektar ladang kelapa sawit haram dan lombong haram, menutup 1,000 tapak perlombongan haram serta membatalkan permit bagi 28 syarikat yang mengusahakan ladang di kawasan hutan simpan.
Prabowo juga menegaskan bahawa pentadbirannya akan berdepan dengan rasuah secara langsung, tegas dan terbuka.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini WEF di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

