Skip to main content

Dunia

Prabowo unjur ekonomi Indonesia berkembang kepada 6.5 peratus pada 2027

Indonesia’s President Prabowo Subianto attends a meeting with Russia’s President Vladimir Putin at the Kremlin in Moscow, Russia, April 13, 2026. Igor Ivanko/Pool via REUTERS
Prabowo berkata strategi fiskal dan monetari harus dapat mengekalkan kestabilan rupiah dalam persekitaran ketidakpastian ekonomi global. - Gambar fail/Reuters

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata ekonomi negara dijangka berkembang antara 5.8 peratus dan 6.5 peratus pada tahun 2027, disokong oleh dasar fiskal yang berhemat dan strategi ekonomi tertumpu pada modal insan, pertanian dan penciptaan pekerjaan.

Beliau berkata pertumbuhan yang disasarkan harus diterjemahkan kepada peningkatan ketara dalam kebajikan awam menerusi kadar kemiskinan dan pengangguran lebih rendah dengan kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan kemiskinan kepada antara 6.0 dan 6.5 peratus daripada julat sasaran sebelumnya iaitu 6.5 hingga 7.5 peratus.

“Dengan strategi ekonomi yang betul dan dasar fiskal berhemat dan mampan, saya yakin ekonomi Indonesia boleh berkembang dalam julat 5.8 hingga 6.5 peratus pada 2027 dan ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi lapan peratus pada 2029,” katanya.

Prabowo berkata demikian ketika menyampaikan Rangka Kerja Makroekonomi dan Prinsip Dasar Fiskal Belanjawan Negara 2027 di Dewan Perwakilan Rakyat, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata strategi fiskal dan monetari harus dapat mengekalkan kestabilan rupiah dalam persekitaran ketidakpastian ekonomi global.

“Inflasi akan dikekalkan dalam lingkungan 1.5 hingga 3.5 peratus, manakala kadar pertukaran rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan dikekalkan dalam lingkungan Rp16,800 hingga Rp17,500.

“Dari segi pembiayaan defisit kami pada 2027, kami akan mengekalkan defisit belanjawan negara dalam lingkungan 1.80 hingga maksimum 2.40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kami akan terus berusaha untuk mengurangkan defisit ini,” kata Prabowo.

Kadar faedah sekuriti kerajaan 10 tahun akan dikekalkan dalam lingkungan 6.5 hingga 7.3 peratus, katanya.

Prabowo berkata kerajaan juga menyasarkan kadar pengangguran terbuka berkurangan kepada antara 4.30 dan 4.87 peratus daripada julat sasaran sebelumnya iaitu 4.4 hingga 4.96 peratus, manakala indeks modal insan dijangka meningkat kepada 0.575 daripada 0.570 melalui pelbagai program keutamaan dalam sektor sumber manusia.

Beliau juga berikrar untuk mewujudkan pekerjaan secara besar-besaran dengan kadar pekerjaan formal disasarkan meningkat kepada 40.81 peratus pada 2027 daripada 35 peratus pada 2026.

Selain itu, kerajaan juga menyasarkan untuk menambah baik agihan pendapatan dengan nisbah Gini negara diunjurkan meningkat antara 0.362 dan 0.367 daripada julat sasaran sebelumnya iaitu 0.37 hingga 0.380 bagi memastikan jurang antara golongan terkaya dan termiskin tidak terus melebar.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement