Presiden Colombia sedia 'angkat senjata' berdepan ancaman Donald Trump

Petro, bekas gerila yang pernah bersumpah tidak akan memegang senjata lagi bersedia untuk melakukannya semula demi negara tercinta. - Gambar Reuters
BOGOTA: Presiden Colombia, Gustavo Petro, menyatakan kesediaan untuk “angkat senjata” susulan ancaman daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang sebelum ini melancarkan serangan ketenteraan ke atas Venezuela dan menahan Presiden Nicolas Maduro.
Petro, bekas gerila yang pernah bersumpah tidak akan memegang senjata lagi, menulis di platform X: “Saya bersumpah tidak akan menyentuh senjata lagi... tetapi demi tanah air, saya akan 'angkat senjata' semula.”
Ketegangan memuncak selepas Trump memberi amaran keras kepada Petro agar “berjaga-jaga” dan menuduh pemimpin berhaluan kiri itu sebagai “sakit” serta terlibat dalam pengedaran dadah ke AS.
Tuduhan itu dibuat tanpa bukti, malah Washington mengenakan sekatan kewangan ke atas Petro dan keluarganya serta menyingkirkan Colombia daripada senarai sekutu perang dadah.
Petro sebelum ini lantang mengkritik operasi ketenteraan AS di Caribbean yang bermula dengan serangan ke atas bot penyeludup dadah, kemudian merampas kapal tangki minyak Venezuela, sebelum serbuan ke Caracas untuk menahan Maduro.
Dalam kenyataan panjang di X, Petro memberi amaran bahawa tindakan melulu boleh mencetuskan konflik besar: “Jika anda melepaskan bom tanpa risikan tepat, anda akan bunuh ramai kanak-kanak. Jika anda tahan Presiden yang dihormati rakyat, anda akan lepaskan ‘jaguar’ kebangkitan rakyat.”
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


