DUNIA
Presiden Filipina sokong demonstrasi skandal rasuah

Ferdinand Marcos Jr berkata kemarahan rakyat terhadap dakwaan penyelewengan itu adalah wajar. - AP
MANILA: Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr pada Isnin berkata beliau tidak bimbang protes jalanan berhubung dakwaan rasuah dalam projek kawalan banjir bernilai berbilion peso akan bertukar ganas seperti rusuhan baru-baru ini di negara jiran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Marcos, yang keluarganya digulingkan dalam kebangkitan rakyat pada 1986 akibat rasuah dan pelanggaran hak asasi manusia, berkata kemarahan rakyat terhadap dakwaan penyelewengan itu adalah wajar, sambil memberi amaran keadaan akan bertambah buruk jika kerajaan gagal bertindak.
"Adakah anda menyalahkan mereka kerana turun ke jalanan? Jika saya bukan presiden, mungkin saya juga akan bersama mereka di jalanan. Sudah tentu mereka marah. Sudah tentu mereka kecewa. Saya juga marah. Kita semua patut marah kerana apa yang berlaku ini tidak betul," katanya kepada wartawan.
Siasatan Senat dan Dewan Perwakilan mendedahkan ada yang tidak kena dalam projek kawalan banjir bernilai lebih 500 bilion peso (US$9 bilion), termasuk projek "palsu" dan kerja berkualiti rendah di kawasan yang kini mengalami banjir teruk.Beberapa pemberi maklumat mendakwa ada penggubal undang-undang yang menerima rasuah daripada kontraktor projek.
Marcos Jr mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat dakwaan itu, dengan berjanji tiada siapa yang akan terkecuali daripada siasatan.
Beliau turut menggesa rakyat Filipina menyuarakan bantahan mereka secara terus.
"Biar mereka tahu perasaan anda, biar mereka tahu bagaimana mereka menyakiti anda, bagaimana mereka merompak anda. Jerit kepada mereka, buat apa sahaja yang anda mahu, berdemonstrasi -- asalkan secara aman," katanya.
Setakat ini, demonstrasi masih berskala kecil, dengan perhimpunan terbesar melibatkan kira-kira 3,000 pelajar di sebuah universiti awam di kawasan Manila pada Jumaat lepas.
Penganjur merancang untuk mengadakan perhimpunan lebih besar dalam beberapa hari akan datang, termasuk pada 21 September, iaitu ulang tahun pengisytiharan undang-undang tentera oleh bapa Marcos Jr pada 1972.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami