JAKARTA: Indonesia memberi isyarat bahawa ia mungkin menarik diri daripada “Lembaga Keamanan" yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) sekiranya keputusan badan itu tidak selaras dengan kepentingan Indonesia atau Palestin, kata Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Khamis, lapor Xinhua.
Bercakap dalam satu perbincangan dengan wartawan dan penganalisis di Bogor, Jawa Barat, Prabowo menjelaskan bahawa keputusan Indonesia untuk menyertai badan itu didorong oleh pengiraan strategik bagi memajukan kepentingan Palestin dari dalam forum berkenaan.
Advertisement
Beliau menegaskan bahawa penyertaan itu akan menyediakan ruang yang lebih bermakna untuk mempengaruhi hala tuju dasar berbanding jika kekal di luar badan tersebut.
Bagaimanapun, presiden itu menggariskan bahawa keahlian Indonesia adalah bersyarat dan tertakluk kepada penilaian.
Beliau memberi amaran bahawa negaranya tidak akan teragak-agak untuk keluar daripada badan itu sekiranya hasil yang dicapai terbukti tidak produktif atau gagal selaras dengan komitmen Indonesia terhadap kemerdekaan Palestin.
Beliau menegaskan bahawa Indonesia mengekalkan hak untuk menarik diri secara bebas tanpa memerlukan kelulusan daripada ahli-ahli lain.
Pendirian Indonesia mencerminkan keutamaan dasar luar negaranya yang telah lama dipegang dalam menyokong kenegaraan Palestin.
Prabowo mengulangi bahawa penglibatan dalam mekanisme antarabangsa bertujuan memastikan negara itu dapat menyumbang secara aktif ke arah memajukan penyelesaian yang adil dan berkekalan.
Presiden AS Donald Trump melancarkan badan itu secara rasmi di bandar Davos, Switzerland pada Januari. Kumpulan itu menerima keraguan dan kurang minat daripada banyak negara yang bimbang ia boleh bertindih atau menjejaskan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
-- BERNAMA-XINHUA