INTERNATIONAL
Presiden Iran tawar bantuan reda ketegangan India, Pakistan susulan serangan di Kashmir

Dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh Resistance Front (TRF) Selasa lalu, seramai 26 orang maut ditembak manakala 17 yang lain cedera. - Gambar/ Reuters
TEHRAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Sabtu menggesa perluasan kerjasama serantau dalam memerangi keganasan semasa perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan dan Perdana Menteri India.
Menurut kenyataan pejabatnya, Pezeshkian turut membincangkan hubungan dua hala serta isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama dalam kedua-dua perbualan itu.
Bercakap dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Pezeshkian menegaskan bahawa insiden keganasan terbaharu di rantau itu meningkatkan keperluan untuk memperkukuh kerjasama serantau bagi membanteras "fenomena jahat" keganasan serta memusnahkan sumber kewangan dan senjata kumpulan pengganas.
Beliau melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian-kejadian terbabit, sambil menegaskan tumpuan diberikan kepada segala usaha untuk memastikan keamanan, keselamatan dan ketenangan di rantau terbabit.Pezeshkian turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan antara India dan Pakistan, khususnya selepas insiden keganasan berdarah di Pahalgam, Kashmir sambil menekankan bahawa kejadian sebegini hanya mencetuskan perpecahan dan ketegangan sesama negara serantau.
Beliau berkata Iran bersedia menawarkan bantuan untuk menjernihkan salah faham dan meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.
Dalam perbualan itu, Perdana Menteri Pakistan mengecam keras sebarang tindakan keganasan, menyatakan negaranya sendiri menjadi mangsa keganasan dan memahami pentingnya memeranginya secara tegas.
Sharif menegaskan bahawa Pakistan bersedia bekerjasama untuk menyiasat insiden berkenaan secara "menyeluruh dan telus," serta memuji Iran atas peranannya yang "membina dan positif" dalam usaha meredakan ketegangan.
Dalam insiden yang berlaku pada Selasa lalu dan didakwa dilakukan oleh Resistance Front (TRF), seramai 26 orang maut ditembak manakala 17 yang lain cedera.
Menerusi perbualan telefonnya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, Pezeshkian mengutuk keras insiden keganasan itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan serta rakyat India.
Beliau menyeru kerjasama antara negara serantau dalam memerangi keganasan serta memperkukuh solidariti menghadapi "ancaman bersama."
Pezeshkian juga menegaskan peningkatan serangan keganasan di rantau itu sebagai alasan untuk mempercepatkan usaha kolektif dalam membasmi keganasan demi menjamin keamanan dan kestabilan yang berkekalan.
Modi turut menekankan bahawa memerangi keganasan memerlukan perpaduan dan kerjasama menyeluruh antara semua negara serantau.
India menuduh Pakistan terlibat dalam serangan itu.
Pada Rabu, kerajaan India mengumumkan beberapa tindakan terhadap Pakistan termasuk menggantung Perjanjian Air Indus, menutup sempadan dan mengusir kakitangan Pakistan.
Kementerian Hal Ehwal Luar India pada Khamis turut mengumumkan penggantungan semua kategori visa untuk rakyat Pakistan serta menasihatkan rakyatnya agar tidak melancong ke Pakistan, menurut laporan media tempatan.
Pakistan pula menyifatkan tindakan balas India sebagai "amat tidak bertanggungjawab dan tidak berasas dari segi undang-undang," dan mengumumkan beberapa langkah balas terhadap India, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Pakistan pada Khamis.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami