DUNIA
Presiden Iran tolak tuntutan AS berkaitan pengayaan uranium

Pezeshkian mengulangi komitmen Iran terhadap tenaga nuklear secara damai, menegaskan negara itu tidak mencari senjata nuklear. - Foto REUTERS
NEW YORK: Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata tuntutan Amerika Syarikat (AS) mengenai pengayaan uranium Iran tidak dapat diterima.
Bercakap kepada pemberita di New York sebelum pulang ke Tehran pada Sabtu, Pezeshkian menegaskan perbincangan mengenai mekanisme untuk isu uranium tidak mencapai persetujuan, kerana AS meminta Iran menyerahkan semua uranium yang diperkaya sebagai pertukaran untuk penangguhan sekatan hanya selama tiga bulan, yang beliau anggap tidak boleh diterima, lapor IRNA.
Pezeshkian mengulangi komitmen Iran terhadap tenaga nuklear secara damai, menegaskan negara itu tidak mencari senjata nuklear, pendirian yang berakar umbi dalam arahan Pemimpin Revolusi Islam.
Beliau memberi amaran sekiranya AS terus mengemukakan tuntutan yang tidak munasabah, ia boleh membawa kepada peningkatan ketegangan lebih lanjut, termasuk pengaktifan mekanisme "snapback" atau kembali mengenakan sekatan.Beliau juga menyentuh mengenai peningkatan sentimen global terhadap rejim Israel, menyatakan tindakan rejim itu dan sokongan AS hanya memupuk kebencian dalam kalangan pencinta kebebasan di seluruh dunia.
Beliau mengecam keganasan yang dilakukan oleh rejim Israel dan sekutunya, meramalkan pengasingan mereka akhirnya dalam komuniti antarabangsa.
Merujuk kepada penyertaan beliau dalam sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pezeshkian menyatakan yang ia memberikan peluang untuk menyuarakan pendirian sah rakyat Iran.
Menurut IRNA, Presiden itu mengetengahkan perbincangan yang membuahkan hasil dengan ketua negara dari Perancis, Finland, Switzerland, Norway, Iraq, Bolivia serta Presiden Majlis Eropah dan beliau akan menyatakan kedudukan Iran mengenai program nuklearnya.
Beliau memberi jaminan yang Iran menyediakan langkah yang diperlukan sekiranya tindakan sedemikian berlaku, dengan memanfaatkan hubungan dengan negara jiran dan kumpulan, seperti BRICS dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami