ARIZONA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menganugerahkan geran dan pinjaman hampir AS$20 bilion (RM94.8 bilion) kepada Intel sekali gus merupakan peruntukan terbesar kerajaan AS dalam pemberian subsidi pengeluaran cip terkini pada Rabu.

Ia sekaligus salah satu usaha menggerakkan pengeluaran semikonduktor domestik syarikat tersebut.

Biden mengumumkan perjanjian awal untuk pemberian AS$8.5 bilion (RM40.3 bilion)  dalam bentuk hibah dan sehingga AS$11 bilion (RM52.2 bilion) dalam bentuk pinjaman untuk Intel di Arizona.

Sebahagian daripada dana tersebut akan digunakan untuk membina dua kilang baru dan memodenkan sebuah kilang sedia ada

"Saya gembira untuk mengumumkan kerjasama swasta awam terkini dan salah satu pelaburan terbesar semikonduktor di Amerika Syarikat.

"Perjanjian mercu tanda baharu di bawah Akta Cip dan Sains antara pentadbiran saya dan Intel sehingga AS$8.5 bilion. Ia adalah pelaburan bijak," kata Biden.

Presiden AS tersebut berkata pelaburan ini akan membolehkan pengeluaran semikonduktor yang berteknologi tinggi membuat kemunculan semula di AS selepas 40 tahun.

Biden, seorang Demokrat, juga menyerang bekas presiden AS Donald Trump dan mendakwa di bawah dasar bekas presiden Republik itu, syarikat-syarikat menghantar pekerjaan ke luar negara dan potongan cukai Trump hanya akan membantu syarikat-syarikat besar yang kaya.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Perdagangan AS Gina Raimondo menyebutnya sebagai salah satu pelaburan terbesar dalam pembuatan semikonduktor AS.