Presiden Palestin desak PBB gantung keahlian Israel

Astro Awani
Mei 16, 2023 00:00 MYT
Mahmoud mempersoalkan mengapa lebih 1,000 resolusi diluluskan mengenai Palestin tidak pernah dilaksanakan. - Foto AP
NEW YORK: Presiden Palestin Mahmoud Abbas mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung keahlian Israel dalam badan dunia itu kecuali ia melaksanakan resolusi penubuhan dua negara.
Kenyataan Mahmoud dibuat dalam sidang khas untuk memperingati Hari Nakba, hari penubuhan Israel serta tragedi pembersihan etnik Palestin 75 tahun lalu.
Mahmoud mempersoalkan mengapa lebih 1,000 resolusi diluluskan mengenai Palestin tidak pernah dilaksanakan.
ini termasuk resolusi yang diluluskan pada tahun 1947 dan 1948 berhubung penubuhan dua negara tidak dikuatkuasa sehingga kini.
"Nakba tidak bermula pada 1948 dan tidak berhenti selepas tarikh itu. Israel, terus menceroboh dan lakukan keganasan terhadap penduduk Palestin.
"Menafikan Nakba dan menolak resolusi antarabangsa berkaitan kepulangan pelarian Palestin ke tanah air mereka, keganasan menyebabkan mereka menjadi pelarian.
"Palestin akan kekal, timur Baitulmaqdis adalah Arab Palestin, walaupun apa yang didakwa pihak tertentu mengenainya. Ini adalah tanah kami, bandar kami. Kami tidak akan berputus asa," katanya.
Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan sebelum ini menghantar surat kepada Perhimpunan Agung, mengecam sambutan ini dan mengingatkan wakil negara supaya tidak terlibat dalam usaha untuk mengubah sejarah.
Israel dan Amerika Syarikat (AS) antara yang memboikot sambutan memperingati Nakba ini.
Perhimpunan Agung PBB dengan 57 anggota pada 1947 meluluskan resolusi memisahkan Palestin dengan 33 undi menyokong dan 13 membantah.
Sementara 10 memilih untuk berkecuali.
Israel menerima pelan PBB ini dan selepas mandat British berakhir pada tahun 1948, ia mengisytiharkan kemerdekaannya.
Hari Nakba menyaksikan lebih 700,000 warga Palestin yang melarikan diri dan dihalau dari kediaman mereka pada tahun 1948.
Nasib pelarian ini yang dianggarkan berjumlah 5 juta orang di seluruh Asia Barat, kekal jadi pertikaian dalam konflik Arab-Israel.
#Mahmoud Abbas #PBB #Hari Nakba #Palestin