Presiden Panama dakwa AS ugut tarik balik visa pegawai susulan hubungan dengan China

Presiden Mulino menegaskan, pertikaian geopolitik antara AS dan China “tidak melibatkan Panama” secara langsung. - Gambar AP
PANAMA CITY: Presiden Panama, Jose Raul Mulino mendakwa seorang pegawai di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di negara itu telah mengugut untuk membatalkan visa milik pegawai kerajaan Panama susulan tekanan Washington supaya Panama mengehadkan hubungan dengan China.
Bercakap pada sidang media mingguannya, Mulino berkata, tindakan sedemikian tidak selaras dengan hubungan baik yang diharapkan antara kedua-dua negara.
“Ada pihak di Kedutaan Amerika yang mengugut mahu menarik semula visa. Itu bukan sesuatu yang selaras dengan hubungan baik yang saya harap dapat dikekalkan dengan Amerika Syarikat,” katanya tanpa menamakan individu berkenaan.
Setakat ini, Kedutaan AS di Panama belum memberikan sebarang maklum balas terhadap dakwaan itu.Pentadbiran Presiden Donald Trump juga enggan mengulas mengenai keputusan visa individu, namun sebelum ini Jabatan Negara AS pernah menegaskan bahawa Washington komited mengekang pengaruh China di rantau Amerika Tengah.
Dalam kenyataannya pada September lalu, Jabatan Negara AS turut memaklumkan bahawa visa akan dihadkan kepada mana-mana individu yang mengekalkan hubungan dengan Parti Komunis China atau bertindak bagi pihak Beijing untuk melemahkan demokrasi di rantau tersebut.
Awal minggu ini, pentadbiran Trump dilaporkan telah membatalkan visa enam warga asing yang didakwa membuat kenyataan menghina susulan pembunuhan aktivis konservatif, Charlie Kirk, bulan lalu.
Insiden serupa turut berlaku di negara jiran.
Pada April lalu, bekas Presiden Costa Rica dan penerima Hadiah Keamanan Nobel, Oscar Arias mendakwa, visanya dibatalkan oleh AS.
Sementara pada Julai, Naib Presiden Kongres Costa Rica, Vanessa Castro turut dimaklumkan oleh Kedutaan AS bahawa visanya telah ditarik balik kerana dikaitkan dengan Parti Komunis China.
Terperangkap antara AS dan China
Panama kini berada dalam kedudukan sensitif di tengah-tengah ketegangan geopolitik antara AS dan China, susulan kedudukan strategiknya yang mengawal Terusan Panama - laluan perdagangan penting dunia.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam lawatannya ke Panama pada Februari lalu menggesa kerajaan negara itu mengurangkan segera pengaruh China ke atas operasi terusan tersebut.
Kerajaan Panama bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa China mempunyai pengaruh terhadap operasi terusan, namun, akur dengan tekanan Washington untuk memaksa syarikat berpangkalan di Hong Kong yang mengendalikan pelabuhan di kedua-dua hujung terusan menjual konsesinya kepada sebuah konsortium baharu.
Mulino sebelum ini menegaskan, Panama akan mengekalkan pendirian berkecuali terhadap terusan tersebut.
“Mereka berhak memberi atau menarik semula visa kepada sesiapa sahaja, tetapi tidak sepatutnya menggunakan ugutan seperti ‘jika kamu tidak lakukan sesuatu, kami akan tarik visa kamu’,” katanya pada Khamis.
Beliau turut menegaskan, pertikaian geopolitik antara AS dan China “tidak melibatkan Panama” secara langsung. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami