LJUBLJANA: Presiden Slovenia, Natasa Pirc Musar, mengkritik tindakan Perdana Menteri baharu, Janez Jansa, yang menurunkan bendera Palestin dari bangunan utama kerajaan di ibu negara Ljubljana, hanya beberapa jam selepas memegang jawatan.
Dalam respons menerusi video yang dikongsi di media sosial, Musar menegaskan bahawa situasi di Palestin masih membimbangkan dan memerlukan perhatian antarabangsa.
“Genosid terhadap rakyat Palestin belum berhenti, dan penduduk di Gaza serta Tebing Barat masih tidak dapat hidup dengan aman dan bermaruah,” katanya.
Sebagai tindak balas, beliau mengumumkan bahawa bendera Palestin akan dinaikkan di perkarangan Istana Presiden selama seminggu, sebelum disimpan di dalam bangunan itu sepanjang tempoh pentadbirannya.
Menurut Musar, tindakan tersebut bertujuan menjadi peringatan kepada semua pihak mengenai kepentingan menghormati nilai kemanusiaan sejagat.
“Ia adalah seruan mudah untuk menghormati prinsip asas: maruah manusia – untuk semua,” katanya.
Tindakan Jansa menurunkan bendera Palestin dilihat mencetuskan pertembungan terbuka antara dua pemimpin tertinggi negara itu, sekali gus mencerminkan perbezaan pendirian dalam isu antarabangsa khususnya konflik Asia Barat.
Perkembangan ini juga menarik perhatian mengenai hala tuju dasar luar Slovenia di bawah pentadbiran baharu, terutama dalam isu berkaitan Palestin dan Israel.