Ringkasan AI
- Pembahagian portfolio antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masih belum dibincangkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
- Fokus utama BN dan PN kini adalah penyelarasan gerak kerja jentera bagi memastikan kemenangan calon pada PRN Melaka.
- Pengerusi BN Melaka yakin kerjasama BN-PN memberi kelebihan di Bukit Katil dan Ayer Keroh, namun enggan menetapkan peratusan kemenangan.
BUKIT KATIL: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pembahagian portfolio antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masih belum dibincangkan meskipun kerjasama kedua-dua gabungan semakin kukuh menjelang hari pengundian 14 November ini.
Sebaliknya menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu, tumpuan ketika ini diberikan kepada penyelarasan gerak kerja jentera bagi memastikan kemenangan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
“Belum lagi, tapi telah diperhalusi di peringkat gerak kerja bersama,” katanya ketika ditanya mengenai pembahagian portfolio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sekiranya BN-PN berjaya membentuk kerajaan selepas PRN Melaka.
Beliau berkata demikian ketika lawatan bertemu jentera pilihan raya di Bilik Gerakan PN di Bukit Katil hari ini.
Menurutnya, komitmen UMNO membantu memenangkan calon Pas di Bukit Katil kini berada pada tahap membanggakan.
“Saya bukan saja berpuas hati, saya amat berbangga dan juga amat teruja melihat persefahaman dan persepakatan ini,” katanya.
Beliau turut yakin kerjasama BN-PN mampu memberi kelebihan di Bukit Katil dan Ayer Keroh, namun enggan menetapkan peratusan kemenangan.
Katanya, maklum balas pengundi masih dinilai menerusi laporan jentera di lapangan.
Mengulas naratif Pakatan Harapan (PH) untuk menyelamatkan Melaka, beliau berkata BN-PN juga mahu menyelamatkan negeri itu daripada PH.
“Itu dari sudut pandangan mereka, kita juga nak selamatkan Melaka daripada PH,” katanya lagi.
Turut hadir calon PN bagi DUN Bukit Katil, Mohd Ridzuan Mohd Shariff dan calon PN bagi DUN Ayer Keroh, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.