Presiden Venezuela, Hugo Chavez meninggal dunia pada Selasa selepas sekian lama menghidap kanser.

Kematiannya diumumkan oleh Naib Presiden Nicolas Maduro, tidak lama selepas keadaan kesihatannya diumumkan semakin merosot dan tenat kerana mengalami jangkitan.

"Kami telah menerima berita yang paling sukar dan paling tragis. Presiden Hugo Chavez meninggal dunia hari ini (Selasa) pada 4.25 petang," kata Maduro dalam pengumuman yang disiarkan melalui televisyen Venezuela.

Chavez, 61 tahun, mula disahkan mengidap kanser pada Jun 2011. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai sakitnya itu termasuk tidak pernah memaklumkan keadaan kansernya, di mana dan kanser apa.

Mendiang menjalani pembedahan tiga kali antara Jun 2011 sehingga Februari tahun lalu dan pada masa sama, melalui rawatan kemoterapi dan radiasi. Semua proses rawatan itu dilakukan di Havana, Cuba.

Biarpun melalui rawatan yang panjang, Chavez tidak juga sembuh.

Biarpun keadaannya yang tidak sihat, Chavez bertanding dalam pilihan raya Presiden pada Oktober 2011 dan menang mengalahkan Henrique Capriles. Majlis angkat sumpahnya yang dijadual pada 10 Januari bagaimanapun ditangguhkan dan tindakan itu dikritik hebat oleh penentangnya.

Dua bulan selepas menang pilihan raya Presiden itu, Chavez mengumumkan bahawa beliau memerlukan satu lagi pembedahan di Havana. Pembedahan keempat itulah yang membawa kepada keadaan kesihatan beliau yang semakin merosot dari minggu ke minggu sehinggalah kepada kematiannya pada Selasa.

Kematian Chavez meninggalkan Venezuela dalam keadaan berdepan krisis politik serta tanda tanya mengenai masa depan legasi perjuangan revolusi sosialismenya.

Chavez merupakan bekas tentera dan jadi presiden sejak 1999. Sepanjang kepimpinannya, beliau pernah berdepan cubaan guling kuasa pada 2002 yang bagaimanapun dapat digagalkan selepas 47 jam.