XI'AN: Presiden China, Xi Jinping, menggariskan hala tuju bagi kerjasama antara China dengan lima negara Asia Tengah pada era baharu di Sidang Kemuncak China-Asia Tengah yang diadakan di sini, Jumaat.

Sidang Kemuncak China-Asia Tengah yang dijadual diadakan selama dua hari bermula Khamis itu, diserikan dengan kehadiran rakan sejawatan beliau dari Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.

Xi dalam ucapannya, menyuarakan kesediaan China untuk menggunakan peluang daripada sidang kali ini bagi meningkatkan koordinasi dengan negara-negara Asia Tengah dalam usaha meneroka prospek baharu bagi kerjasama dalam pelbagai bidang.

Beliau turut menyentuh berkenaan isu pembinaan mekanisme kerjasama dan mencadangkan agar mekanisme mesyuarat dan dialog dapat diwujudkan dalam industri dan pelaburan, pertanian, pengangkutan, tindak balas kecemasan, pendidikan serta hal ehwal parti politik sebagai platform bagi pelbagai negara menjalankan kerjasama yang saling menguntungkan.

"Lebih banyak langkah pemudahan perdagangan akan diambil China dan perjanjian pelaburan dua hala akan dinaik taraf untuk memperkukuh hubungan bilateral dalam bidang ekonomi dan perdagangan," kata Xi.

Pada masa sama, beliau juga mencadangkan untuk meningkatkan kesalinghubungan dengan negara-negara terlibat.

Berhubung isu kerjasama dalam bidang tenaga pula, Xi turut mengemukakan idea untuk membina perkongsian pembangunan tenaga China-Asia Tengah.

"Negara-negara terlibat disarankan mempercepatkan pembinaan Laluan D saluran paip gas asli China-Asia Tengah, menambah skala perdagangan minyak dan gas, selain memperkasa kerjasama dalam bidang rantaian perindustrian tenaga, tenaga baharu serta penggunaan tenaga nuklear secara damai," kata beliau.

Tambah Xi, China bersedia untuk menggalakkan kerjasama inovasi hijau dengan negara-negara Asia Tengah.

"China mengalu-alukan negara-negara Asia Tengah mengambil bahagian dalam program kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan dalam bidang teknologi bagi tujuan pembangunan mampan, inovasi dan keusahawanan serta teknologi maklumat angkasa," katanya.

Bagi meningkatkan keupayaan pembangunan, China akan merangka pelan kerjasama dengan negara-negara Asia Tengah dalam mengurangkan kemiskinan melalui sains dan teknologi dan melaksanakan Program Peningkatan Kemahiran Teknikal China-Asia Tengah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan.

"China akan menyediakan sokongan pembiayaan sebanyak RMB26 bilion (RM16.8 bilion) dan bantuan percuma kepada negara-negara Asia Tengah," kata Xi.

Beliau turut menegaskan mengenai pentingnya kerjasama pelbagai negara terbabit untuk mengembangkan dialog tamadun dan mengekalkan keamanan serantau.

-- BERNAMA