Program antibodi COVID-19 yang dibangunkan AstraZeneca dijangka akan diperoleh pada pertengahan tahun hadapan.

Naib Presiden BioPharmaceuticals R&D AstraZeneca, Mene Pangalos berkata program itu akan melibatkan jutaan dos suntikan yang akan disalurkan bagi menghentikan penularan COVID-19.

Setakat ini, program berkenaan dilakukan dalam lima fasa penyelidikan. 

"Kami mempunyai lima fasa program yang sedang bermula.

"Kami berharap untuk memperoleh program antibodi ini pada pertengahan tahun hadapan bagi memastikan ia dapat dibekalkan dari jutaan ke berbilion dos, yang amat penting untuk kita semua," katanya ketika menjadi panel dalam Dialog Forum Ekonomi Dunia (WEF) secara maya pada Khamis. 

AstraZeneca telah memulakan ujian pertama program antibodi berkenaan pada November lalu.

Ia juga merupakan kaedah pencegahan atau profilaktik untuk mencegah jangkitan COVID-19. 

Ia menumpukan kepada program pencegahan COVID-19 ke atas mereka yang berisiko dan diberi perlindungan dalam jangka waktu sehingga 12 bulan.

Dalam pada itu, mengenai vaksin COVAX, beliau menjangkakan kira-kira 3 juta dos vaksin itu sedia untuk diedarkan kepada negara-negara terlibat menjelang akhir tahun 2021.