WILTSHIRE: Seorang lelaki Austria didapati bersalah menembak mati anjing isterinya dan menyembunyikan bangkainya sewaktu satu prosiding perbicaraan perceraian mereka sedang berlangsung di mahkamah.

Sebelum ini tertuduh, Count Konrad Goess-Saurau, 70, menafikan melakukan jenayah itu dengan alasan dia ‘menghapuskan’ haiwan tersebut untuk menamatkan penderitaannya.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Majistret Swindon diberitahu bahawa anjing baka German pointer bernama Herman itu dimiliki sepenuhnya oleh isteri Konrad, Countess Susan Goess-Saurau.

Pendakwa Raya Ben Worthington berkata Susan tiba di rumah pasangan itu di Temple Farm, Wiltshire, pada 21 November tahun lalu dan mendapati Herman hilang.

Dia kemudiannya menghubungi Konrad selepas rakaman CCTV memaparkan suaminya membawa anjing itu keluar.

Susan mendakwa Konrad memaklumkan sudah menembak mati anjing itu kerana "ia menjijikkan, tiada siapa yang menyukainya".

Kecewa dengan apa yang berlaku, Susan yang berkahwin dengan Konrad selama 26 tahun, menghubungi Polis Wiltshire untuk melaporkan kejadian itu.

Worthington berkata Konrad mengakui perkara tersebut dalam satu kenyataan bertulis yang diberikan kepada polis dalam satu temu bual, tetapi mendakwa berbuat demikian kerana haiwan tersebut menghidap kanser dan dalam kesakitan.

Tetapi Susan mendakwa anjing kesayangannya itu tidak sakit dan hidup gembira.

Hakim, Beverly Payne kemudiannya, memutuskan Konrad bersalah.

"Anda bertindak tidak munasabah, anda boleh membawa Herman berjumpa doktor haiwan. Jika benar-benar tiada pilihan, doktor haiwan boleh menjalankan eutanasia.

"Anda juga pasti tahu apa yang anda lakukan membuatkan isteri anda sedih. Jadi kami memutuskan anda bersalah," katanya.

Konrad dikenakan denda £2,000 (RM10,607), selain perlu membayar kos £620 (RM3,337) dan surcaj £200 (RM1,076).