Bayaran saham KPF tertunggak: Kami bukan bank saudagar, tetapi koperasi - Pengerusi

Mohd Banuri memberikan penjelasan dan statistik berhubung permohonan pengeluaran modal syer dan bayaran dividen ketika ditemui pemberita di Balai FELDA, di sini pada Selasa. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) merupakan entiti koperasi pelaburan, bukan bank, bermakna urusan pengeluaran dana tidak boleh dibuat secara bebas atau serta-merta seperti akaun simpanan bank.
Ringkasan AI
- KPF merupakan entiti koperasi pelaburan, bukan bank, yang tidak dapat melakukan pengeluaran dana dengan bebas seperti bank, tetapi melalui perancangan dan perbincangan untuk kepentingan pelabur.
- KPF telah memproses permohonan pengeluaran modal syer sebanyak RM909.95 juta bagi tempoh 2020 hingga 2025, sementara membayar dividen sebanyak RM659.7 juta sehingga tempoh 2024 dengan keseluruhan manfaat kepada anggota mencecah RM1.2 bilion.
- Pencarum KPF menuntut pembayaran penuh segera tunggakan penjualan saham pelabur serta jadual pembayaran yang teratur, dengan pelabur seperti Sahir Sairi, 68 tahun, yang mengalami kesukaran kerana permohonan pengeluarannya gagal dipenuhi selama hampir dua tahun.
"Keutamaan pengeluaran diberikan kepada lima kategori utama, antaranya jemaah umrah serta haji yang disahkan menerima tawaran Tabung Haji, pesakit kronik, pendidikan dan kes kecemasan termasuk isu mahkamah atau kelangsungan hidup.
"Setakat ini, kira-kira 17 peratus pelabur membuat pengeluaran, manakala 83 peratus kekal pelabur tegar. Kita harus memastikan dana terus dilaburkan dan menjana pulangan.
"KPF tiada kecairan seperti bank yang mampu memenuhi semua pengeluaran secara serentak, harus berperingkat," jelas Banuri ketika ditemui pemberita, di sini pada Selasa.
Pada masa ini, Banuri berkata KPF sudah memproses permohonan pengeluaran modal syer berjumlah RM909.95 juta bagi tempoh 2020 hingga 2025 dengan bayaran penuh RM543.6 juta bagi tahun 2020 hingga 2023.
Dalam tempoh 2020 hingga 2024, KPF turut membayar dividen berjumlah RM659.7 juta, menjadikan keseluruhan manfaat kepada anggota mencecah RM1.2 bilion.
"KPF sudah melaksanakan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan bermula Julai 2024 yang melibatkan penstrukturan semula aset pelaburan, sebahagiannya dimuktamadkan pada Julai 2025.
"Pelan ini telah dibentangkan dan diperjelaskan kepada anggota melalui Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) 2025 pada 6 Januari hingga 28 Februari 2025 di 43 kawasan di bawah wilayah FELDA," jelasnya.
Pada Selasa, sekitar 100 pencarum KPF berarak dari Jalan Maktab di Kampung Datuk Keramat ke Balai FELDA menuntut pembayaran jualan saham pelabur.

Sahir Sairi hadir ke perhimpunan dengan berkerusi roda. - Foto Astro AWANI/Ikqwan Lee
Penyelaras perhimpunan yang juga wakil pelabur KPF, Ahmad Karami Lebai Yunus mendakwa harapan peneroka FELDA seolah-olah dicabul, penantian tanpa penghujung bagi menikmati wang hasil penjualan saham di akhir usia.
"Ada pencarum warga emas yang sehingga ajal menjemput masih belum menerima wang penjualan saham, waris si mati menghadapi kesukaran menguruskan harta faraid, malah wang khairat kematian pun gagal dilunaskan.
"Tatkala wang hak milik sah pencarum dipinggirkan tanpa tarikh pembayaran, KPF masih meluluskan pembiayaan atau pinjaman sehingga RM200,000 dan menyalurkan dana tersebut dalam tempoh singkat, ini merupakan pengurusan kewangan yang songsang.
"Kami menuntut pembayaran penuh segera semua tunggakan penjualan saham pelabur KPF serta jadual pembayaran yang bertarikh dan muktamad," dakwa Ahmad Karami dalam sidang media selepas penyerahan memorandum kepada Ketua Divisyen Pengurusan dan Perkhidmatan, Anuar Hassan.
Selain itu, Sahir Sairi, 68, yang hadir ke perhimpunan dengan berkerusi roda akibat sakit lutut dan sendi berpandangan situasi ini seperti menunggu buah yang tidak gugur.
"Saya pelabur setia bersama KPF selama 30 tahun, saya fikir akan bermanfaat di kemudian hari bagi menyara keperluan hidup dan rawatan kesihatan di usia senja apabila sudah tidak berupaya bekerja.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


