DUNIA

Protes di hotel penempatan pelarian Dublin berakhir aman selepas dua malam kekacauan

Astro Awani 23/10/2025 | 23:30 MYT
Hotel Citywest menempatkan keluarga termasuk kanak-kanak sekolah di bawah program perlindungan antarabangsa kerajaan Ireland untuk pelarian. - Foto AP
DUBLIN: Protes di Hotel Citywest, Dublin, yang digunakan sebagai penempatan pelarian, berlangsung secara aman pada Khamis malam selepas dua malam sebelumnya dicemari kekacauan dan rusuhan.


Ringkasan AI
  • Protes di Hotel Citywest, Dublin, berlangsung secara aman pada Khamis malam selepas dua malam sebelumnya dicemari kekacauan melibatkan ribuan peserta.
  • Kekacauan bermula Selasa malam susulan dakwaan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak, dengan insiden termasuk balingan batu, bunga api dan pembakaran kenderaan polis.
  • Polis Ireland dan Menteri Kehakiman memberi amaran keras terhadap kekacauan, menegaskan hak bersuara tidak boleh disalah guna untuk melanggar undang-undang.


Kira-kira 100 orang berkumpul di pintu masuk hotel tersebut sebelum bersurai sekitar jam 9.30 malam waktu tempatan.

Polis Ireland, Gardaí, mengekalkan kehadiran besar di lokasi sebagai langkah berjaga-jaga.

Kekacauan tercetus pada Selasa malam selepas protes awal yang aman berhubung dakwaan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di kawasan sekitar hotel pada awal pagi Isnin.

Protes tersebut menarik kehadiran sekitar 2,000 orang dan bertukar menjadi rusuhan yang berlarutan selama beberapa jam.

Menurut pihak berkuasa, rusuhan itu dipercayai dirancang secara dalam talian dan menyaksikan batu serta bunga api dilempar ke arah anggota polis, termasuk sebuah kenderaan Garda yang dibakar.

Tujuh individu ditahan dan lima daripadanya didakwa atas pelbagai kesalahan.

Pada Rabu malam, insiden serupa berulang namun dalam skala lebih kecil.

Polis berjaya mengawal keadaan dengan kehadiran pasukan yang lebih besar.

Tiga anggota polis cedera dan 24 individu ditahan, termasuk 17 dewasa yang didakwa atas kesalahan ketenteraman awam dan lima remaja yang disalurkan ke program pemulihan belia.

Pesuruhjaya Garda, Justin Kelly, menyifatkan kekacauan pada Selasa sebagai “tidak boleh diterima” dan berikrar akan bertindak tegas jika insiden serupa berulang.

Menteri Kehakiman Ireland, Jim O'Callaghan, turut memberi amaran bahawa mereka yang terlibat dalam kekacauan akan berdepan akibat serius di kemudian hari.

Beliau menegaskan bahawa rakyat berhak menyuarakan pandangan politik dan membantah dasar kerajaan, namun tidak dibenarkan menggunakan kekerasan atau melanggar undang-undang.

Hotel Citywest menempatkan keluarga termasuk kanak-kanak sekolah di bawah program perlindungan antarabangsa kerajaan Ireland untuk pelarian.






#protes #pelarian #Hotel Citywest #rusuhan