Protes jalanan dan keganasan di Kaherah terus berlarutan dan masuk hari keenam.

Ketegangan dilaporkan berterusan selepas pakatan pembangkang menolak tawaran rundingan daripada pentadbiran Presiden Mohammed Morsi.

Pertempuran sengit antara pasukan polis dengan kumpulan penunjuk perasaan berlaku pada waktu malam.

Ia disifatkan sebagai krisis berdarah paling buruk sejak kebangkitan rakyat Mesir dua tahun lalu.

Perkembangan berkenaan menyaksikan ketua tentera, Jeneral Abdul Fatah Al Sisi memberi amaran bahawa negara berkenaan akan hancur jika protes berterusan.

Ini kerana keadaan akan terus kacau bilau dan bertambah buruk sekiranya protes merebak ke seluruh negara.

Beliau membuat kenyataan itu susulan penempatan jumlah tentera yang besar di tiga bandar utama sepanjang Terusan Suez yang terlibat dengan perintah darurat.

Sehingga kini, jumlah kematian akibat krisis dan keganasan sudah hampir mencecah 60 orang.

Perkembangan berkenaan juga menyebabkan Mohammed Morsi terpaksa memendekkan lawatannya ke Eropah.