DUNIA
Protes Let's Block Everything: Pekerja pelabuhan Genoa mogok, halang penghantaran senjata ke Israel

Protes Let's Block Everything turut disertai aktivis dan pelajar di seluruh negara, menuntut penggantungan kerjasama perdagangan dan ketenteraan Itali dengan Israel. -Foto Reuters
GENOA: Pekerja pelabuhan di bandar Genoa, Itali, bertindak keluar dan menyekat laluan ke terminal utama sebagai sebahagian daripada mogok dianjurkan kesatuan buruh Itali bagi membantah tindakan ketenteraan Israel di Gaza.
Ringkasan AI
- Pekerja pelabuhan di Genoa, Itali, sertai mogok membantah tindakan ketenteraan Israel di Gaza dengan menyekat laluan ke terminal utama dan menolak penghantaran senjata.
- Protes Lets Block Everything turut disertai aktivis dan pelajar di seluruh negara, menuntut penggantungan kerjasama perdagangan dan ketenteraan Itali dengan Israel.
- Tekanan terhadap kerajaan Itali meningkat, dengan kesatuan buruh CGIL gesa pengiktirafan negara Palestin dan sekatan terhadap menteri Israel yang buat kenyataan ekstrem.
Tindakan serupa turut berlaku di pelabuhan Livorno, manakala beberapa sekolah dan perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh Itali turut terjejas akibat mogok tersebut.
“Kami tidak akan benarkan satu peluru pun meninggalkan pelabuhan ini,” kata Riccardo Rudino dari Kesatuan Pekerja Pelabuhan Autonomi (CALP), sambil menegaskan bahawa Itali tidak seharusnya menjadi transit senjata ke zon konflik.
Menteri Pengangkutan Itali, Matteo Salvini, menyifatkan protes itu sebagai tindakan ekstrem berhaluan kiri yang tidak mewakili pendirian majoriti rakyat.
Namun, tekanan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni semakin meningkat, dengan sebahagian anggota gabungan pemerintah menyuarakan kebimbangan terhadap serangan berterusan Israel di Gaza.
Selain mogok, pelabuhan Ravenna turut dilaporkan menolak kemasukan dua trak yang dipercayai membawa bahan letupan ke Israel, atas arahan pihak berkuasa tempatan dan seruan masyarakat sivil.
Kesatuan terbesar Itali, CGIL, turut menggesa pengiktirafan rasmi terhadap negara Palestin dan pelaksanaan sekatan terhadap menteri Israel yang didakwa membuat kenyataan ekstrem terhadap Gaza dan Tebing Barat.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami