Skip to main content

Dunia

Protes: Perancis mungkin kenakan lebih banyak perintah berkurung

Langkah bantuan akan diumumkan bagi membantu peniaga dan pengusaha kraf yang terjejas supaya mereka dapat menyambung semula operasi dengan segera. - AP
Langkah bantuan akan diumumkan bagi membantu peniaga dan pengusaha kraf yang terjejas supaya mereka dapat menyambung semula operasi dengan segera. - AP

Advertisement

ISTANBUL: Perdana Menteri Perancis Sebastien Lecornu pada Selasa berkata pihak berkuasa mungkin mengenakan lebih banyak perintah berkurung di kawasan tertentu susulan insiden keganasan yang berlaku ketika protes membantah kos sara hidup yang tinggi pada hujung minggu, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan menerusi platform media sosial X, Lecornu berkata perintah berkurung bersasar "membantu meredakan keadaan" sepanjang malam, sambil menambah bahawa sekatan lanjut mungkin diumumkan pada Selasa malam "di kawasan yang keadaan keselamatannya memerlukan langkah itu".

Beliau berkata keputusan itu akan dibuat di peringkat tempatan oleh pegawai kanan pentadbiran wilayah dengan penyelarasan datuk bandar.

Perintah berkurung separa mula berkuat kuasa pada Isnin malam di beberapa kawasan termasuk Paris dan Lyon.

Sumber polis dan pasukan gendarmerie melaporkan keadaan secara umumnya tenang sepanjang malam, walaupun beberapa insiden berlaku ketika demonstrasi di Martinique.

Menteri Kehakiman Gerald Darmanin berkata seramai 2,513 orang ditahan, 67 dipenjarakan dan puluhan siasatan kehakiman dibuka susulan kekacauan pada hujung minggu.

Darmanin memberitahu CNews-Europe 1 bahawa beliau menolak keperluan untuk mengisytiharkan keadaan darurat, sambil menegaskan bahawa pihak berkuasa mampu memulihkan ketenteraman melalui tindakan tegas tanpa menyekat kebebasan seluruh penduduk.

Sementara itu, Presiden Perhimpunan Kebangsaan Yael Braun-Pivet menggesa kerajaan menangani tuntutan penunjuk perasaan, sambil berkata ratusan ribu orang telah menyertai demonstrasi secara aman.

Beliau memberi amaran bahawa kebimbangan berkaitan aspek kepolisan tidak seharusnya membayangi perbahasan belanjawan dan rungutan penunjuk perasaan.

Menteri Ekonomi Roland Lescure berkata langkah bantuan akan diumumkan bagi membantu peniaga dan pengusaha kraf yang terjejas supaya mereka dapat menyambung semula operasi dengan segera.

Sebuah kumpulan penyelaras Ves Kuning menyeru orang ramai menyertai satu lagi demonstrasi pada Sabtu, 24 Okt.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement