PULUHAN ribu rakyat Bulgaria menyertai demonstrasi bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Boyko Borissov dan Ketua Pendakwa Raya, Ivan Geshev.

Tunjuk perasaan anti-pemerintah itu memasuki minggu ketiga dan dilaporkan paling besar sejak tujuh tahun lalu.

Ia juga dilakukan bagi mendesak peletakan jawatan pemerintah negara kerana didakwa melindungi kumpulan mafia, gagal memerangi rasuah dan mereformasi badan kehakiman, serta tidak mengamalkan kebebasan bersuara.

Dalam tunjuk perasaan itu, orang ramai turut melaungkan ungkapan 'Resignation' (peletakan jawatan).

Walaupun perhimpunan berlangsung secara aman, namun ada juga pertempuran dan tangkapan dilaporkan.

Di Sofia pada Rabu, penunjuk perasaan menghalang beberapa persimpangan utama jalan pada waktu perniagaan hingga menyebabkan lalu lintas hampir berhenti.

Sementara itu, Presiden Bulgaria, Rumen Radev yang menyokong tunjuk perasaan berkata, Borissov dan Geshev perlu berundur daripada jawatan itu.

Sebelum ini, menerusi sebuah video yang disiarkan di Facebook, Borissov berkata, setiap orang berhak untuk berdemonstrasi, tetapi tidak harus menyekat jalan raya.

Borissov memerintah negara itu sejak 2009. Ini merupakan penggal ketiga beliau yang akan berakhir pada Mac tahun depan.