ISTANBUL: Pusingan kelima rundingan antara Lubnan dan Israel bermula pada Selasa di Washington, lapor Anadolu Ajansi yang memetik National News Agency (NNA).
Menurut NNA, rundingan terkini yang merangkumi isu keselamatan dan politik itu berlangsung di ibu pejabat Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) di ibu negara AS itu.
Tiada maklumat lanjut didedahkan setakat ini mengenai agenda atau peserta yang terlibat dalam perbincangan.
Pada Jumaat lepas, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengumumkan satu pusingan baharu rundingan langsung antara Lubnan dan Israel yang dijadual berlangsung di Washington, D.C. dari 23 hingga 25 Jun.
Pusingan terbaharu ini merupakan sesi kelima rundingan antara kedua-dua negara selepas empat pusingan terdahulu yang bermula pada April, sebagai sebahagian usaha mencapai persetujuan antara kedua-dua pihak.
Rundingan itu berlangsung selepas memorandum persefahaman antara AS dan Iran mula berkuat kuasa pada 18 Jun, susulan pemeteraian secara elektronik oleh Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Perjanjian itu mengandungi peruntukan yang mengikat pihak yang terlibat untuk menghormati kedaulatan serta integriti wilayah Lubnan.
Menurut angka rasmi Lubnan, serangan Israel di negara itu mengorbankan lebih 4,100 orang dan mencederakan lebih 12,000 yang lain sejak 2 Mac.
Israel pula terus menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, termasuk wilayah yang dikuasainya sejak beberapa dekad lepas serta kawasan yang dirampas semasa konflik 2023 - 2024.
-- BERNAMA-ANADOLU