MASALAH kerap kencing yang sering dianggap perkara biasa dalam kalangan lelaki berusia sebenarnya boleh menjadi petanda awal pembesaran prostat yang memerlukan perhatian perubatan.
Pakar Perunding Urologi Hospital Picaso, Dr Badrulhisham Bahadzor berkata, simptom pembesaran prostat bukan sahaja melibatkan kekerapan membuang air kecil, malah turut menjejaskan keupayaan pundi kencing menyimpan dan mengosongkan air kencing dengan sempurna.
“Bagi sesetengah pesakit, mereka juga terpaksa bangun berkali-kali pada waktu malam untuk membuang air kecil, sekali gus mengganggu kualiti tidur dan menyebabkan keletihan pada siang hari,” katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pembesaran prostat atau benign prostatic hyperplasia (BPH), iaitu keadaan yang semakin lazim berlaku apabila usia meningkat.
Kajian antarabangsa menunjukkan masalah itu jarang menyebabkan gejala sebelum umur 40 tahun, namun risikonya meningkat dengan ketara selepas usia 50 tahun.
Kencing Tak Puas
Selain masalah penyimpanan air kencing, Dr Badrulhisham berkata pesakit juga boleh mengalami simptom ketika proses mengosongkan pundi kencing seperti aliran air kencing yang lemah, terputus-putus, lambat bermula, rasa tidak puas selepas kencing dan titisan air kencing keluar selepas meninggalkan tandas.
“Kalau dibiarkan, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan saluran kencing, pembentukan batu dalam pundi kencing dan lebih serius lagi apabila pesakit langsung tidak boleh membuang air kecil sehingga memerlukan pemasangan tiub untuk mengeluarkan air kencing,” katanya.
Lelaki Usia 50-an Perlu Waspada
Dr Badrulhisham berkata pembesaran prostat lazimnya berlaku dalam kalangan lelaki berusia lebih 50 tahun, manakala simptom dalam lingkungan usia 40-an lebih kerap dikaitkan dengan keradangan prostat akibat jangkitan kuman.
Beliau berkata rawatan akan ditentukan berdasarkan tahap gejala yang dialami pesakit. Sebagai contoh, pada peringkat awal, perubahan gaya hidup seperti mengurangkan pengambilan minuman berkafein termasuk kopi dan teh boleh membantu mengurangkan simptom.
Rawatan di Hospital Picaso
“Rawatan dilakukan melalui saluran kencing menggunakan peralatan khas. Di Hospital Picaso, kami turut menawarkan teknik terkini seperti laser enucleation yang membolehkan lebih banyak tisu prostat dibuang dan memberi kesan rawatan yang lebih tahan lama,” katanya.
Mengulas mengenai pencegahan, Dr Badrulhisham berkata tiada kaedah yang terbukti mampu menghalang pembesaran prostat kerana ia berkait rapat dengan peningkatan usia.
Menurut beliau, Hospital Picaso yang bakal memasuki tahun kedua operasinya turut memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi pembedahan terkini termasuk pembedahan robotik serta rawatan pelbagai jenis kanser, dengan pasukan pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.