Sebagai respons kepada pertanyaan IRNA lewat Isnin, Baqaei berkata bahawa hasil rundingan yang dijalankan sebelum ini, telah diputuskan bahawa rundingan seterusnya akan berlangsung di ibu negara Oman pada 19 April.
Wakil dari Iran dan AS telah mengadakan satu pusingan awal rundingan tidak langsung secara ringkas di Muscat pada 12 April. Menteri Luar Oman, Badr bin Hamad Al Busaidi, bertindak sebagai perantara dengan menyampaikan mesej antara delegasi Iran dan Amerika.
Kedua-dua pihak kemudian menyifatkan rundingan itu sebagai konstruktif dan bersetuju untuk meneruskan pada minggu depan.
Beberapa laporan bercanggah mengenai tempat untuk pusingan rundingan seterusnya.
Seorang anggota parlimen Iran sebelum ini memetik Timbalan Menteri Luar bagi Hal Ehwal Politik, Majid Takht-e-Ravanchi sebagai berkata dalam taklimat kepada Parlimen bahawa pusingan rundingan seterusnya akan diadakan di Eropah.
Ebrahim Rezaei, jurucakap Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen berkata Takht-e-Ravanchi memberitahu anggota parlimen bahawa Oman bagaimanapun akan terus menjadi perantara rundingan.
Kemudian, laporan Reuters menyatakan Menteri Luar Itali Antonio Tajani berkata Rom akan menjadi tuan rumah pusingan kedua rundingan antara Iran dan AS.
Organisasi berita itu menyebut agensi berita ANSA di Itali sebagai pihak pertama yang melaporkan kenyataan Tajani itu.
-- BERNAMA
