Skip to main content

Dunia

Putera George mulakan hari pertama di Eton College

Britain's Catherine, Princess of Wales, walks with her son, Prince George, as he arrives for his first day at Eton College, in Eton, Britain, September 8, 2026. ADRIAN DENNIS/Pool via REUTERS TPX IMAGES OF THE DAY
Putera George ditemani ibu bapanya, Putera William dan Puteri Catherine ketika tiba untuk memulakan hari pertama persekolahan di Eton College, England pada 8 September 2026. - Gambar Agensi
Advertisement

Putera George memulakan hari pertamanya di Eton College pada Selasa, tiba dalam keadaan hujan dengan ditemani ibu bapanya, Putera William dan Puteri Catherine.

Putera William dan Catherine dilihat membawa payung ketika mengiringi anak sulung mereka yang berusia 13 tahun itu ke sekolah berkenaan, dengan George tampil memakai jaket dan tali leher.

Ketibaan mereka disambut Pengetua Eton College, Simon Henderson dan Provost Eton, Sir Nicholas Coleridge.

“Selamat datang, semoga berjaya dan nikmatilah pengalaman ini,” kata Henderson ketika bersalaman dengan Putera George.

Mereka turut berbual ringkas mengenai keadaan cuaca sebelum George bersama ibu bapanya dan kakitangan sekolah memasuki bangunan bersejarah berkenaan.

Sebagai pelajar Eton, George akan tinggal di asrama, sekali gus mengikut jejak bapanya yang pernah menuntut di sekolah elit itu. Putera Harry dan bapa saudara kepada Puteri Diana, Earl Spencer, juga pernah mendapat pendidikan di Eton.

Eton mempunyai 25 rumah asrama dengan setiap satunya menempatkan kira-kira 55 pelajar bermula usia 13 tahun, di bawah pengawasan kakitangan kediaman yang diketuai seorang house master. Lokasinya juga tidak jauh dari kediaman keluarga Putera Wales di Windsor.

Pemilihan Eton menamatkan spekulasi mengenai sekolah yang bakal menjadi pilihan George selepas menamatkan pendidikan di sekolah persediaan swasta Lambrook di Berkshire.

Eton College merupakan antara sekolah swasta paling berprestij di Britain dan pernah mendidik 20 Perdana Menteri Britain. Yuran pengajian di sekolah berkenaan dilaporkan sekitar £65,000 (kira-kira RM370,000) setahun.

Antara tokoh politik yang pernah menuntut di Eton ialah bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Boris Johnson, selain Kwasi Kwarteng serta Jacob Rees-Mogg. Pelakon Eddie Redmayne, Dominic West, Damian Lewis dan Tom Hiddleston juga merupakan bekas pelajar sekolah itu.

Pengalaman George di Eton dijangka memberinya ruang daripada perhatian media dan orang ramai. Putera William sendiri pernah berkata pada tahun 2000 bahawa beliau menghargai peluang menjalani kehidupan seperti pelajar biasa ketika menuntut di sekolah berkenaan.

“Saya benar-benar menikmati peluang untuk menjalani kehidupan di Eton seperti pelajar lain,” katanya ketika berusia 18 tahun pada Jun 2000.

Sementara itu, Editor Urusan Good Schools Guide, Melanie Sanderson menyifatkan Eton sebagai sebuah sekolah moden dengan pandangan progresif meskipun mempunyai bangunan yang berusia ratusan tahun.

Menurutnya, berbeza dengan kebanyakan pelajar berusia 13 tahun yang belum mengetahui hala tuju kehidupan mereka, George berdepan masa depan yang sangat khusus sebagai pewaris takhta.

“Putera George mempunyai masa depan yang sangat khusus dan ibu bapanya, dengan pilihan sekolah yang tiada tandingan, memutuskan bahawa pendidikan di Eton merupakan persediaan terbaik untuk kehidupannya sebagai anggota kanan keluarga diraja moden,” katanya.

Putera George merupakan anak sulung Putera William dan Catherine serta berada di kedudukan kedua dalam susunan pewarisan takhta Britain selepas bapanya.

Eton College diasaskan oleh Raja Henry VI pada 1440 dan terletak berhampiran Windsor, England.

Must Watch Video

Advertisement