Skip to main content

Malaysia

Kes pelajar cederakan guru: Polis tunggu laporan psikiatri

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.  - Foto Bernama
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

KUCHING: Polis masih menunggu laporan penilaian psikiatri bagi menentukan keadaan mental seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai mencederakan seorang guru di sebuah sekolah swasta di sini pada 21 Okt lepas.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak berkata laporan tersebut penting bagi membantu menentukan keadaan suspek ketika kejadian.

“Polis sedang menunggu laporan penilaian psikiatri forensik bagi menentukan keadaan mental suspek ketika kejadian. Setakat ini, kita belum dapat membuat sebarang kesimpulan sehingga laporan berkenaan diterima,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Saifullizan berkata polis telah melengkapkan siasatan dan mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Okt lepas untuk penelitian lanjut.

“Polis telah merakam keterangan daripada 38 saksi yang terdiri daripada pelajar, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan dan ibu bapa suspek bagi membantu siasatan.

“Beberapa barangan yang dirampas, termasuk kapak, pisau, mercun serta komputer dan gajet dari rumah suspek, telah dihantar untuk analisis forensik,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan setakat ini, polis tidak menemukan bukti mengaitkan kejadian itu dengan unsur buli.

Pada 21 Okt, Saifullizan mengesahkan seorang guru wanita cedera dipercayai akibat diserang seorang pelajar lelaki tingkatan empat di sebuah sekolah di sini.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement