KUALA LUMPUR: Kematian DUke of Edinburgh pada pagi Jumaat ternyata mendedahkan perspektif dan sanjungan dari pelbagai lapisan rakyat terhadap ahli keluarga diraja itu. 

Sosok Putera Philip sentiasa diingati rakyat United Kingdom, malah pelajar asing yang pernah berada melanjutkan pengajian tinggi di negara terbabit turut merasai kehilangannya.

Ahli Malaysian Society, Imperial College Union, London, Ahmad Syabil Hud Adzman Shah berkata mendiang terkenal dengan keperibadiannya yang mudah didekati rakyat.

Menurut Ahmad Syabik, Ddari sudut kerja kebajikan pula, Putera Philip amat popular dalam kalangan keluarga diraja.

"Mengenang mendiang Putera Philip (ini) saya rasa dalam tiga perkara. Pertama sekali mendiang Putera Philip ini, beliau telah berkhidmat dalam Perang Dunia Kedua dan salah satu sebab beliau popular adalah sebab beliau seorang Tentera Laut.

"Rakyat Britain lebih senang dapat berhubung dengan mendiang kerana beliau aktif dalam sukan, contohnya ketika sekolah menengah beliau pernah menjadi kapten kelab sukan," katanya dalam temu bual menerusi Skype pada Sabtu.

Tambah Ahmad Syabil, pelajar asing turut mengenali sosok mendiang itu yang sentiasa mengambil perhatian akan kemajuan sukan di peringkat universiti melibatkan pelajar tempatan dan antarabangsa.

"Antara pelajar UK, malah pelajar Malaysia pun tahu beliau lancarkan aktiviti (iaitu) satu anugerah bagi pelajar yang bergiat aktif dalam sukan dan berkhidmat kepada masyarakat.

"Beliau juga aktif dalam khidmat masyarakat dan kerja amal, contohnya beliau aktif dalam World Wide Fund for Nature (WWF) dan beliau banyak beri sumbangan kepada organisasi tersebut," jelasnya lagi. 

Putera Philip, 99, meninggal dunia pada Jumaat pagi (waktu tempatan) di Istana Windsor.

Putera Philip mendapat gelaran Duke Edinburgh selepas beliau mendirikan rumahtangga dengan Ratu Elizabeth pada 20 November, 1947.