ANKARA: Presiden Rusia Vladimir Putin memberi jaminan kepada anggota Kumpulan Wagner yang beliau akan mengotakan janji untuk memberi peluang mereka bebas.

"Hari ini anda mempunyai peluang untuk terus berkhidmat kepada Rusia dengan menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan atau agensi penguatkuasa undang-undang yang lain atau untuk kembali kepada keluarga dan orang tersayang. Sesiapa yang mahu boleh (juga) ke Belarus," kata Putin dalam satu ucapan di televisyen, menurut Agensi Anadolu.

"Janji yang saya buat akan dikotakan. Saya ulangi, pilihan ada di tangan anda, tetapi saya yakin ia akan menjadi pilihan tentera Rusia yang telah menyedari kesilapan tragis mereka," katanya.

Putin berkata majoriti pejuang dan komander Kumpulan Wagner juga merupakan patriot Rusia, berbakti kepada rakyat serta negara dan telah membuktikan keberanian mereka di medan tempur.

Beliau berkata anggota Wagner dibiarkan dalam kegelapan kerana untuk dipergunakan "menentang saudara seperjuangan mereka yang mereka juga berjuang demi masa depan negara."

Pemimpin Rusia itu berkata sejak permulaan pemberontakan pada hujung minggu lalu dan atas arahan beliau langkah telah diambil bagi mengelakkan sebarang pertumpahan darah.

"Masa diperlukan untuk itu, termasuk memberi peluang kepada mereka yang melakukan kesilapan untuk memikirkannya semula, memahami bahawa tindakan mereka dibantah sekeras-kerasnya oleh masyarakat," katanya.

Putin juga berterima kasih kepada pejuang dan komander Kumpulan Wagner yang telah "membuat keputusan paling tepat untuk tidak mencetuskan pertumpahan darah dengan berhenti sebelum melangkaui garisan.

Pemberontakan bersenjata akan diperangi dalam apa jua keadaan, tegas Putin sambil menambah penganjur Wagner perlu faham perkara ini.

"Mereka memahami semuanya, termasuk bahawa mereka menggunakan tindakan jenayah untuk memecah dan melemahkan negara yang kini menghadapi ancaman luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Putin menekankan bahawa musuh Rusia - neo-Nazi di Kiev dan penaung di Barat dan semua jenis pengkhianat negara - hanya berniat untuk melihat penduduk di negara ini bertelagah sesama sendiri.

"Mereka mahu tentera Rusia saling berbunuhan antara satu sama lain, membunuh anggota tentera dan orang awam, supaya pada akhirnya Rusia akan tewas dan rakyat kita akan berpecah, terjerumus dalam kancah pertempuran berdarah. Mereka menggosok tangan, bermimpi untuk membalas dendam atas kegagalan mereka tetapi mereka telah tersilap percaturan," katanya.

Putin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Rusia atas semangat "perpaduan dan patriotisme" dalam menghadapi pemberontakan Kumpulan Wagner.

"Perpaduan rakyat ini telah membuktikan bahawa sebarang pemerasan, sebarang usaha untuk mencetuskan pergolakan dalaman pasti akan menemui kegagalan," katanya.

Penganjur pemberontakan itu telah mengkhianati negara dan rakyat Rusia serta memperdaya mereka yang terlibat dalam pemberontakan.

Putin turut berterima kasih kepada Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, atas usaha dan sumbangan beliau dalam mencari penyelesaian yang aman bagi situasi itu.

Pada Sabtu, Kumpulan Wagner menuduh Kementerian Pertahanan Rusia menyerang pejuangnya.

Pengasas kumpulan itu, Yevgeny Prigozhin, kemudian mengisytiharkan "A March of Justice" dan menyeberangi sempadan Ukraine ke bandar Rostov-on-Don Rusia, menyaksikan tenteranya menawan kemudahan tentera yang penting.

Prigozhin berkata pejuangnya akan meneruskan kemaraan ke Moscow, mendorong Kremlin untuk mengetatkan langkah keselamatan di pelbagai wilayah di negara itu.

Beliau kemudian dilaporkan berkata pejuangnya memutuskan untuk berpatah balik untuk mengelakkan pertumpahan darah, ketika berada 200 kilometer (124 batu) dari Moscow.

Lukashenko berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan ketua Wagner dengan persetujuan Putin dan Prigozhin menerima perjanjian untuk menamatkan ketegangan.

-- BERNAMA