INTERNATIONAL
Putin umum gencatan senjata sehari sempena Easter

Menurut Putin, langkah itu dibuat atas pertimbangan kemanusiaan, bermula jam 6 petang waktu Moscow (11 malam waktu Malaysia) Sabtu hingga tengah malam Ahad. - Foto fail/REUTERS
MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin, umum gencatan senjata mengejut selama lebih 30 jam sempena sambutan Easter pada Sabtu.
Namun Ukraine mendakwa serangan artileri Rusia masih berterusan dan menuntut agar satu gencatan senjata yang tulen serta berpanjangan dilaksanakan.
Menurut Putin, langkah itu dibuat atas pertimbangan kemanusiaan, bermula jam 6 petang waktu Moscow (11 malam waktu Malaysia) Sabtu hingga tengah malam Ahad.
Bagaimanapun, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menyifatkan pengumuman itu sebagai "satu lagi helah Putin yang mempermainkan nyawa manusia".Beliau turut mengingatkan bahawa Rusia telah menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bulan lalu untuk gencatan senjata selama 30 hari penuh.
Zelenskyy menyatakan kesediaan Ukraine untuk bertindak balas sekiranya Rusia benar-benar melaksanakan gencatan senjata secara penuh dan tanpa syarat.
Jelasnya, jika gencatan senjata benar-benar berlaku, Ukraine mencadangkan ia dilanjutkan melebihi hari Easter pada 20 April.
Namun, realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya dengan siren amaran serangan udara kedengaran di Kyiv sejam sebelum gencatan senjata bermula dan sekali lagi beberapa jam selepas itu.
Di wilayah Kherson, gabenor tempatan melaporkan serangan udara Rusia berlaku sejurus sebelum dan selepas masa gencatan senjata yang diumumkan.
Penduduk Kyiv turut menyuarakan keraguan terhadap gencatan senjata itu.
Pihak Kementerian Pertahanan Rusia pula menyatakan tenteranya telah diarahkan untuk mematuhi gencatan senjata selagi ia dihormati secara timbal balik oleh Ukraine.
Sementara itu, AS memberi amaran bahawa ia mungkin menarik diri daripada rundingan damai jika kedua-dua pihak tidak menunjukkan komitmen serius dalam perundingan.
Trump dan Setiausaha Negara Marco Rubio menegaskan bahawa Washington memerlukan kemajuan jelas dalam rundingan dalam masa terdekat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami